KUANTAN, 4 September 2010 ~ Program tahunan 'Sedekah Seorang Sekampit Beras' sepanjang bulan Ramadan ini memang sangat mendapat sambutan. Ianya dilihat menjadi saluran ibadah sedekah yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam di negeri Pahang. Maka, tidak hairanlah apabila sokongan yang diberikan adalah sangat menggalakkan.
Jumlah keseluruhan beras kampit 5kg dan 10kg yang berjaya dikumpulkan sejak pelancaran program ini pada 6 Ogos dulu adalah sebanyak 312 kampit. Dalam masa yang sama ABIM Pahang juga menerima sumbangan duit sedekah sebanyak RM2500.
Justeru, semua kerja pengagihan telah dilakukan bermula pada 31 Ogos yang lalu. Pengagihan fasa pertama dilakukan dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Kuantan serta Kelab Pemilik Proton BLM (PROSBOC). Sebanyak 182 kampit beras telah diagihkan oleh 15 orang sukarelawan ABIM Pahang, MBD Kuantan dan PROSBOC. Empat lokasi yang dipilih ialah sekitar Beserah, Jalan Gambang, Jalan Sungai Lembing dan Tanjung Lumpur. Sebanyak 91 buah keluarga menerima sumbangan sedekah beras ini.
Selain beras kampit, ABIM Pahang juga turut menyampaikan sedekah gula kepada keluarga-keluaga penerima ini. Gula dibeli dengan menggunakan duit tunai yang disedekahkan sepanjang program ini dilangsungkan.
Pengagihan fasa kedua pula telah dibuat pada 2 September kepada keluarga orang asli Muslim. Pengagihan ini dilakukan dengan kerjasama Pegawai JAKIM yang menjaga hal ehwal orang asli. Sebanyak 60 kampit beras diagihkan kepada orang asli di Sungai Soi (21 kampit), Muadzam (18) dan Batu 14 Kuantan (21).
Pengagihan diteruskan pada 4 September. Kali ini dengan kerjasama Pertubuhan Cina Muslim Malaysia (MACMA) cawangan negeri Pahang. Sebanyak 30 lagi kampit beras diagihkan kepada saudara-saudara baru Islam yang berada di daerah Kuantan ini.
Dalam masa yang sama, sebanyak 40 kampit beras juga diserahkan kepada rakan belia iaitu MAYC Pahang yang telah menganjurkan program Kembara Ramadan di sekitar Tanjung Lumpur.
Semasa pengagihan dijalankan, beberapa rumah anak yatim turut menerima sumbangan sedekah beras ini iaitu Baitul Husna Bukit Sekilau, MABIQ Tanjung Lumpur, Permata Camar Pantai Sepat dan Pondok An-Nur Penor.
2 ulasan:
Tahniah ABIM, MBD dan Prosboc Pahang.
Teruskan lagi. Harap2 tahun ni persediaan lagi awal dan diperluaskan ke daerah2 lain ...
Amin ....
Sekalung penghargaan juga kepada PROSBOC. Kerjasama yang berkesan. InsyaAllah kita teruskan usaha bersama untuk kebaikan masyarakat.
Post a Comment