"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

Showing posts with label Forum Diskusi. Show all posts
Showing posts with label Forum Diskusi. Show all posts

25.2.11

Rumusan Catatan Ceramah Analisis Tunisia dan Mesir


Catatan diambil dari Laman Blog PKPIM Kuantan

Jika beberapa minggu yang lepas, akhbar-akhbar tempatan laku bak pisang goreng panas dekpenangan isu Mesir, rasa-rasa nya jika hendak dibandingkan dengan hari ini, barangkali pisang yang dijual tidak lagi selaku dahulu. Namun,sebagai umat Islam yang sentiasa memandang jauh ke hadapan, perletakan jawatan Hosni Mubarak bukanlah penamat kepada usaha pembebasan Mesir mahupun negara-negara lain daripada cengkaman kuasa barat. Juga tidak bermakna kita harus menarik nafas lega dan bersuka ria atas kejayaan yang sudah dicapai kerana sudah termaktub dalam firman Allah swt yang mengatakan bahawa;

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka. Katakanlah, “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya).” Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong dari Allah”.( Al-Baqarah:120)

Ayat ini cukup signifikan dalam memberi pedoman dan peringatan buat kita agar tidak cepat melatah dan merasa selesa dengan berakhirnya pemerintahan tiga dekad Husni Mubarak di Mesir. Ini kerana, kalimah ‘lan’ yang membawa mesej besar bahawasanya permusuhan orang yahudi dan Nasrani ke atas umat Islam akan tetap terus berlaku sehinggalah hari kiamat dan mereka tidak akan sesekali merasa puas hati mahupun berputus asa sebelum kita penganut ajaran nabi Muhammad mengikut agama yang dianuti mereka.

Isyarat inilah yang seharusnya difahami oleh kita umat Islam agar tidak timbul rasa takut mahupun gentar di dalam pertandingan menewaskan musuh Allah. Bahkan ayat ini seharusnya menjadi perangsang dan kekuatan supaya umat Islam terus berjihad menegakkan agama Islam dan menjalankan kerja dakwah.

Jikalau difikirkan kembali, sikap positif ini juga yang wujud dalam diri rakyat Mesir yang menjadi salah satu faktor penyebab yang utama yang akhirnya menamatkan pemerintahan Hosni Mubarak di Mesir. Keberanian generasi muda yang hanya berusia lingkungan belasan tahun cukup membuatkan pemimpin berusia 82 tahun ini mengangkat bendera putih. Apa yang pasti, keberanian ini tidak lahir secara sengaja melainkan Allah sudah mencampakkan keberanian ini di dalam hati dan jiwa mereka.

Sikap ragu-ragu dalam menjalankan kerja dakwah inilah yang seharusnya dikikis agar tidak terus menular ke dalam diri yang akhirnya membawa kepada futur di medan juang. Diceritakan bahawa pada masa pemerintahan Umar Al- Khatab tatkala kaum Muslimin merasa ragu-ragu untuk menyeberangi sungai Tigris semasa dalam perjalanan menakluk kota Madain, salah seorang daripada kaum Muslimin bernama Hajar bin Ady segera berseru,

“ Apa yang membuat kalian ragu untuk menyeberangi sungai ini. Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati kecuali dengan izin Allah SWT sebagai ketetapan yang sudah ditentukan waktunya.”

Menarik juga untuk dibincangkan ialah mengenai peranan media baru seperti facebook, twitter, flikr dan lain-lain dalam menyebarkan keberanian ke seluruh pelusuk negara Mesir pada waktu itu. Jika kita di sini hanya menganggap facebook mahupun twitter sekadar alat berkomunikasi dan bersosial sesama kita ,barangkali kita harus menjadikan rakyat Mesir sebagai ‘guru’ dalam memaksimumkan penggunaan media baru ini.Ini kerana laman sosial ini terbukti bukan sahaja berjaya mengkucar-kacirkan pihak berkuasa malah media ini telah digunakan oleh rakyat Mesir bagi mencetuskan gelombang perubahan yang besar bagi negara mereka. Siapa sangka Facebook,twitter mahupun alat perhubungan lain mampu mengalahkan tentera yang bersenjata di sana? Itulah kecanggihan strategi dan amalan musyawarah yang harus kita renungi bersama.

Melihat kepada situasi yang berlaku kepada negara Mesir mahupun negara-negara lain yang tertindas, cukup untuk memberi semangat kepada kita yang meletakkan diri sebagai agen pengubah masyarakat. Kemenangan yang dilalui tidak akan berhasil tanpa semangat yang kental dalam menyebarkan dakwah. Tidak ada kemenangan yang diiringi dengan putus asa. Kekalahan dan kemenangan hanyalah salah satu putaran yang menjalankan fungsi bernama pilihan. Daripada situlah,kita akan melihat di manakah kedudukan sebenar orang yang beriman mahupun orang yang berwajah munafiq. Pergantungan yang mutlak terhadap kuasa Allah melebihi kuasa manusia harus ditanamkan sedalam yang mungkin kerana tanpa pertolongan dariNya, manakan bisa untuk kita menikmati kemenangan.

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
[ali-Imran, 3:26]

Catatan diambil dari Laman Blog PKPIM Kuantan

20.5.09

Dasar Pembangunan Pelajar IPT Tepat Pada Masanya

Oleh : Sdr. Amidi bin Abdul Manan

Pengumuman oleh YB Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah mengenai satu dasar perlu dibentuk bagi Bahagian Hal Ehwal Pelajar di pusat-pusat pengajian tinngi seperti yang dilaporkan oleh akhbar ini pada 11 Mei 2009 adalah bertepatan dengan masanya. Ia amat selari dengan saranan YAB Perdana Menteri tentang pengurusan negara yang perlu memberi perhatian terhadap prestasi dan keperluan rakyat amat ditekankan sekarang.

Seseorang yang memasuki peringkat tertiari pendidikan negara sebenarnya telah diiktiraf menguasai aspek-aspek yang diperlukan pada peringkat sekunder. Pada peringkat pertama pendidikan negara, ia memfokuskan kepada kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira. Juga ditekankan maklumat pada peringkat pengetahuan dalam beberapa mata pelajaran. Justeru individu yang menamatkan pendidikan peringkat primer ini diiktiraf sebagai telah pun mempunyai kemahiran asas yang diperlukan bagi mengharungi pendidikan peringkat sekunder.

Peringkat sekunder dalam pendidikan negara adalah satu peringkat yang amat kompleks. Kompleks dari sudut pelajarnya, dan juga kompleks dari sudut bahan dan sukatannya. Ketika ini pelajar melintasi zon remaja dalam garis kehidupan. Sebagaimana yang kita maklumi, zon ini adalah zon yang amat kritikal dan rencam. Pelajar terpaksa berhadapan dengan perubahan yang mendadak dari sudut psikologi dan biologi. Pembentukkan identiti dicanai dan diacu ketika remaja. Maka tidak hairanlah dalam kerumitan ini ramai remaja yang tersasar dari arah kehidupan yang sewajarnya.

Peringkat tertiari adalah peringkat membentuk kematangan diri. Segala ilmu pengetahuan yang diperolehi seharusnya dapat digunakan dalam membina jati diri dan sikap yang betul apabila berhadapan dengan cabaran dan masalah yang mendatang. Pada peringkat ini pelajar atau lebih dikenali sebagai mahasiswa berada pada tahap akhir pembentukan diri, yakni sebelum mereka diberikan tanggungjawab secara profesional dalam bidang-bidang yang berkaitan.

Oleh yang demikian, dasar yang bakal digubal nanti mestilah mampu memperkasa keutuhan peribadi mahasiswa. Rata-rata mahasiswa merungut mereka tidak dilayan seperti yang sepatutnya oleh pihak wewenang iaitu HEP sesebuah IPT.

Mahasiswa pada tahap ini sedang belajar bagaimana hendak menjalankan tanggung jawab seperti mana golongan dewasa. Tetapi dalam masa yang sama mereka mempunyai pengalaman yang amat cetek dalam hal-ehwal urus kendali sesuatu perkara. Sebagai seorang mahasiswa mereka juga mempunyai citarasa dan ‘self esteem’ yang tinggi. Maka disinilah memerlukan kebijaksanaan pegawai bahagian HEP dalam melaksanakan tugas pendidikan secara tidak formal kepada mahasiswa. Mahasiswa yang berada depan mata pegawai HEP merupakan mereka yang terpilih dan terkehadapan dalam arus pendidikan negara. Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh para pegawai di HEP.

Perkara-perkara yang perlu diambil kira dalam menggubal dasar tersebut antaranya, adalah pengukuhan jati diri generasi muda, akhlak dan disiplin mahasiswa, penyegaran idealisme generasi muda dan pemantapan ilmu dikalangan mahasiswa.

Generasi muda termasuklah golongan mahasiswa merupakan generasi yang akan memasuki masyarakat (in-coming generation). Generasi yang kaya dan sarat dengan nilai-nilai yang ideal. Maka setiap gerakan mahasiswa seharusnya berpaksikan kepada keluhuran nilai-nilai yang mulia. Jangan biarkan walau sedikit pun ruang untuk gerakan mahasiswa beralih paksi kepada paksi politik kelompok atau kepartian melulu apatah lagi jika kepentingan materialistik mengambil tempat. Jika perkara ini terjadi masa depan umat atau masyarakat akan berada dalam kemusnahan.

Mahasiswa juga dilabel sebagai agen perubah masyarakat. Perubahan yang dibawa oleh mahasiswa mestilah dilandasi oleh nilai-nilai yang kukuh. Mahasiswa mesti mampu menjadi penganalisa sosial yang berkaliber. Maka satu ruang yang luas mesti diberikan kepada mahasiswa untuk meneroka, memahami dan menghayati segenap getar nadi masyarakat dari pelbagai sudut. Jangan lorongkan pandangan mahasiswa hanya pada satu lorong seperti masyarakat diluar kampus. Mahasiswa mesti melihat segala gelodak masyarakat dari perspektif helikopter (helicopter view), agar nanti mampu diisih perkara-perkara teras dan cabangan dalam merangka agenda bertindak. Sekatan yang keterlaluan akan menghalang mereka memahami realiti masyarakat. Maka akan tercetaklah pemikiran yang homogenus. Jika perkara ini berlaku negara akan ketandusan pemikir dan kemandulan intelektual.

Mahasiswa juga dilabel sebagai jurubicara masyarakat. Keberanian mereka dalam mengungkapkan masalah masyarakat merupakan pra-syarat dalam proses pembaikan masyarakat. Kita akui bahawa kadangkala terdapat suara yang aneh dan kelihatan janggal. Teguran perlu diberikan tanpa mematikan ketulusan mereka dalam mengenengahkah apa yang difikirkan betul oleh mereka.

Justeru itu bagi melahirkan generasi mahasiswa yang berkualiti kita memerlukan kelompok pegawai HEP yang berjiwa besar dan mempunyai rekod dalam gerakan mahasiswa.

Jati diri mahasiswa mestilah terbina dengan baik. Seseorang yang dipersiapkan untuk masa depan seharusnya tidak tercabut akar kehidupannya daripada latar sejarah dan budaya setempat. Jati diri bukan bermakna kita terhimbau dengan kenangan silam sehingga leka dengan persediaan melengkapkan diri dengan sebarang bentuk kemahiran dan pengetahuan bagi berhadapan dengan cabaran yang mendatang.

Jatidiri mahasiswa seharusnya terbina dari satu bentuk pemerhatian dan analisa tentang kekuatan generasi terdahulu berhadapan dengan dugaan dan cabaran. Dalam masa yang sama kelompok mahasiswa juga hendaklah dipupuk supaya sentiasa berwaspada dengan kelemahan diri yang bakal terjelma tanpa diduga.

Pemerhatian seharusnya bertitik tolak dengan memahami erti kehidupan. Pandangan sarwa yang tuntas tentang kehidupan mampu menangkis segala kepungan fahaman yang membinasakan. Mahasiswa yang kental jatidiri adalah mahasiswa yang sentiasa berpegang teguh dengan prinsip-prinsip yang mulia sepanjang kehidupannya. Mereka berbangga dengan warisan persekitaran dan jujur dalam mempertahankan warisan bangsanya.

Tegasnya jati diri mahasiswa bukanlah satu perasaan atau emosi yang melulu terhadap budaya dan adat yang diwarisi. Tetapi perkara yang lebih penting adalah nilai yang mengangkat martabat bangsa itu sendiri. Tidak ada gunanya kita menangisi kehilangan pemilikan atau hak terhadap tanah air, sedangkan kita sendiri tidak mampu mempertahankan nilai yang membina kedaulatan sesuatu bangsa.

Perkara yang selanjutnya yang harus diberikan perhatian dalam penggubalan dasar tersebut adalah pemupukan akhlak dan disiplin mahasiswa. Akhlak dijelmakan disemua sudut kehidupan. Akhlak meliputi hubungan sesama manusia, akhlak dengan Tuhan dan akhlak dengan alam sekitar.

Akhlak juga meliputi kefahaman terhadap hak. Hak-hak kemanusiaan. Seorang manusia perlu dihormati dan menghormati. Hak asasi manusia, hak terhadap alam sekitar dan yang paling penting adalah hak Pencipta terhadap makhluknya. Justeru dengan akhlak yang benar dan mulia barulah kehidupan manusia itu akan sentiasa berada dalam harmoni. Tanpa penghayatan dan pengamalan akhlak yang sebegini rupa maka kita hanya akan melahirkan berpuluh ribu zionis dalam setahun.

Akhlak mesti digandingkan dengan disiplin. Disiplin mampu membentuk daya saing yang mantap. Satu-satu organisasi hanya akan mencapai objektif penubuhannya berbekalkan disiplin yang tinggi. Maka dengan dianggotai oleh para intelektual muda seharusnya pembentukan disiplin, bukanlah satu masalah yang besar. Pemupukan disiplin organisasi yang baik adalah satu proses pengayaan kepada mahasiswa.

Para mahasiswa bukan sahaja dilatih untuk mempunyai disiplin yang tinggi. Mereka seharusnya mampu mengenali dan membentuk disiplin yang perlu dipraktikkan. Apabila kemahiran ini dapat dibina maka akan lahirlah generasi yang mampu memberikan khidmat yang terbaik buat Malaysia. Perkara ini telah diungkapkan dalam ucapan sulung Perdana Menteri kita. Setiap modus operandi mempunyai disiplin yang tersendiri, maka amat janggal rasanya apabila mahasiswa tidak mampu menakrif peranan dan fungsi setiap juzuk dalam sebuah organisasi.

Penyegaran idealisme bermaksud mahasiswa mampu menyaring setiap fahaman yang datang yang bertujuan menghakis nilai dan tatasusila masyarakat. Ideal bermaksud sesuatu perlu berada pada tahap dan piawai yang telah digariskan oleh agama. Jika kita berbicara persoalan politik, maka idealisme politik adalah bertepatan dengan garis panduan yang telah ditetapkan agama. Politik bukan politik yang ditunggangi oleh kebuasan nafsu. Begitu juga jika topik ekonomi diketengahkan. Ekonomi yang ideal adalah ekonomi yang mementingkan manusia dan kemanusiaan bukan diterajui oleh pertumbuhan semata-mata. Begitu juga jika kita berbincang mengenai mengenai bidang kemasyarakatan seperti pendidikan dan budaya maka secara tuntasnya ia mestilah berada dalam dakapan idealisme perjuangan yang tulen.

Proses penyegaran idealisme boleh berlaku dalam berbagai-bagai bentuk. Boleh jadi ia berbentuk perbincangan ilmiah atau separa ilmiah, perdebatan, banding beza sosial seperti wacana antara bangsa, turun ke lapangan dan mungkin juga berbentuk lakonan. Menerusi aktiviti sebegini nanti mahasiswa akan memerah otak dan mengerah tenaga bagi mempertahankan idelisme perjuangannya.

Penyegaran idealisme tidak akan lengkap jika aktiviti keilmuan atau budaya ilmu tidak turut digiatkan. Budaya ilmu seharusnya menjadi teras dalam pembinaan generasi mahasiswa. Jika bukan dikemuncak pusat pengajian tinggi budaya ilmu diamalkan, dimanakah lagi selayaknya untuk masyarakat memulakan budaya tersebut?

Budaya ilmu seharusnya mengandungi rantaian tindakan yang berupa pemikiran, nilai, amalan dan rangka kerja yang berteraskan ilmu. Mungkin tempoh 3 hingga 6 tahun di pusat pengajian tinggi amat singkat untuk memahami dan mengamalkan dengan sebenar-benarnya budaya ilmu, namun benih kesedaran perlu disemai bagi melahirkan generasi Mahasiswa Malaysia yang perkasa.

Oleh itu sebagai kesimpulan dinyatakan sekali lagi bahawa dasar tersebut seharusnya menekankan bahagian HEP di IPT perlu berganding bahu bersama mahasiswa dalam membentuk dan membina mahasiswa yang mempunyai jati diri yang utuh, akhlak dan disiplin yang terpuji, idealisme perjuangan yang tulus dan murni dan mampu mengamalkan budaya ilmu dalam mengharungi kehidupan.

SDR. AMIDI BIN HAJI ABDUL MANAN
YDP ABIM PAHANG

Mantan Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) 97-99

19.10.07

Ibadah di ISS Cerminan Ulul Albab

Nota : Artikel ini telah tersiar dalam ruangan Surat & Emel Berita Harian pada 19 Oktober 2007 dengan sedikit pengubahsuaian.

Apabila ditanya oleh YAB Perdana Menteri bagaimana kegiatan ibadah khususnya solat dan puasa dilaksanakan di Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS), Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dengan penuh keyakinan menjawab; “Islam is the Way of Life….” dan menjelaskan bahawa dia boleh menunaikan ibadah sebagai seorang Muslim dengan sempurna. Lebih mengharukan, semenjak angkasawan itu berada di bumi lagi sebelum berlepas, berulang kali dia menyatakan komitmennya untuk menunaikan ibadah dengan sempurna di angkasa lepas khususnya solat dan puasa.

Kita sepatutnya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah berjaya mengeluarkan Buku Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah di Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS). Apatah lagi, buku ini dalam format e-buku boleh dimuat turun daripada laman web rasmi JAKIM. Panduan beribadah di angkasa lepas yang dihasilkan ini digunakan sepenuhnya oleh Dr. Sheikh Muszaphar bagi menunaikan ibadah dan melaksanakan tuntutan beragama semasa berada di ISS.

Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Mustafa bin Abdul Rahman dalam Kata Pengantar buku tersebut menegaskan bahawa ibadah merupakan suatu ketetapan ke atas setiap orang Islam yang merentasi keadaan, masa dan tempat. Justeru, perbezaan keadaan di bumi dan ISS bukanlah menjadi penghalang kepada angkasawan Muslim untuk menunaikan tanggung jawab yang sudah diwajibkan. Buku Panduan ini juga merupakan hasil daripada perbincangan dan pembentangan kertas kerja yang telah dilakukan di dalam Seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa Lepas. Seminar ini telah dianjurkan oleh Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan JAKIM sendiri pada bulan April 2006 lepas.

Ada beberapa pengamatan menarik yang perlu diberikan perhatian mengenai kegiatan ibadah yang disempurnakan oleh Dr. Sheikh di ISS. Dr. Sheikh yang dalam lingkungan usia belia telah menampilkan jati diri seorang Muslim yang teguh. Baginya, soal ibadah dan amalan beragama tidak boleh dikompromi kerana ianya sudah menjadi kewajipan dan difardhukan ke atas umat Islam yang mukallaf. Kesedaran tinggi untuk mengutamakan hidup beragama seharusnya diberikan pujian yang tinggi. Kesungguhan beliau untuk komited dengan tuntutan fardhu ain wajar dijadikan tauladan dan motivasi kepada belia-belia Islam yang lain, walaupun beliau sedia maklum kesulitan yang akan dihadapi untuk menunaikan ibadah di ISS seperti ruang terhad, air untuk bersuci dan graviti sifar yang mungkin mengganggu kosentrasi dalam beribadah.

Dalam konteks ini, kita akan lebih menyedari bahawa tuntutan fardhu ain mestilah diberikan keutamaan tertinggi dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita juga sedia maklum, Islam memberikan kelonggaran dan keringanan atau disebut ‘rukhsah’ dalam beribadat kepada penganutnya yang menghadapi kesulitan. Ibadah solat umpamanya boleh ditunaikan dalam keadaan duduk, baring atau dengan isyarat mata jika kesihatan tidak mengizinkan. Malah, musafir juga diberikan keringanan untuk menghimpunkan (jamak) dan memendekkan (qasar) solat fardhu jika menghadapi kesulitan dalam perjalanan jauh. Begitu juga ibadah puasa yang diberikan kelonggaran untuk berbuka puasa kepada orang yang sakit atau bermusafir sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat ke 184 Surah Al-Baqarah. Justeru, tidak ada alasan yang boleh diberikan oleh umat Islam untuk tidak menunaikan amal ibadah. Janganlah disebabkan terlalu mementingkan urusan kerjaya dan aktiviti seharian, maka ibadah fardhu dikompromikan sedemikian rupa.

Sepekara lagi yang menarik perhatian ialah jawapan balas Dr. Sheikh apabila diajukan soalan mengenai perasaan beliau apabila melihat bumi daripada angkasa lepas, beliau dengan pantas menyebutkan bahawa dirinya amat merasai kebesaran dan kekuasaan Allah SWT serta menginsafi kekerdilan dirinya sebagai hamba. Beliau menambah bahawa apabila melihat ciptaan Allah daripada angkasa lepas menjadikan dirinya sangat hampir dengan Allah dan menguatkan lagi keimanannya kepada tuhan yang maha esa. Inilah jati diri Muslim sejati yang menjadi manifestasi generasi Ulul Albab sebagaimana yang dihuraikan dalam Surah Ali-Imraan ayat ke 190 dan 191. Sesungguhnya, tatkala kita memerhatikan kejadian di langit dan di bumi, sudah tentulah kita akan memikirkan kekuasaan Penciptanya. Dengan ini, menjadikan kita lebih hampir dan tunduk kepada Allah SWT.

Pengalaman memerhatikan kejadian alam mungkin berbeza di antara kita di bumi berbanding dengan Dr. Sheikh di angkasa lepas. Namun jurang itu dapat dirapatkan apabila kekuatan fikir dan zikir kita gunakan. Memikirkan kejadian alam dari aspek manafaatnya kepada kehidupan seluruhnya dan proses penciptaan serta perubahannya akan menerbitkan zikir-zikir membesarkan Allah SWT. Inilah yang seharusnya diterapkan dalam jiwa umat Islam. Dr. Sheikh memberikan pengalaman berfikir dan berzikir terhadap kejadian alam dalam pengalaman yang berbeza.

Selain itu juga, panduan ibadah di angkasa lepas ini dihasilkan menerusi seminar dan penyelidikan yang mendalam pakar cerdik pandai dunia pengajian Islam. Perkara ini meneruskan tradisi keilmuwan di kalangan cendekiawan dan pencinta ilmu di negara kita. Seharusnyalah wacana seumpama ini dipertahankan bagi memberikan penyelesaian kepada permasalahan umat Islam dalam menangani kehidupan mereka sehari-hari. Budaya ilmu yang dipertahankan ini akan meningkatkan kapasiti intelektual di kalangan umat Islam. Dengan ini, martabat dan kedudukan umat Islam akan meningkat tinggi lantas mengundang penghormatan daripada pelbagai pihak.

Kita akan terus menanti kepulangan Dr. Sheikh Muszaphar daripada ISS ke bumi. Sebagaimana yang dijanjikannya, beliau akan menunjukkan rakaman bagaimana ibadah solat boleh ditunaikan di angkasa lepas. Sesungguhnya, penerokaan umat Islam ke angkasa lepas telah berjaya membuktikan bahawa agama ini adalah agama yang membawa rahmat ke serata alam.


Disediakan oleh :
Muhammad Hisyamudin bin Hj. Baharudin
Setiausaha ABIM Pahang 2007/08

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More