"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

7.1.07

Jaringan Kerjasama ABIM Pahang

Bagi merealisasikan usaha pembangunan belia serta dakwah dan tarbiyah, ABIM Pahang menjalinkan hubungan strategik bersama-sama dengan jabatan kerajaan, syarikat swasta dan pertubuhan-pertubuhan yang lain.

Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang

JBS Pahang merupakan sebuah jabatan kerajaan yang menaungi semua pertubuhan belia di negeri ini termasuklah ABIM Pahang. Bersama-sama dengan JBS Pahang, ABIM Pahang telah diberikan peluang untuk menganjurkan pelbagai program yang memberi manafaat secara langsung kepada aspek pembangunan belia. Dalam masa yang sama, ABIM Pahang juga turut dijemput dalam program-program anjuran JBS Pahang. Melalui penyelarasan JBS Pahang, ABIM Pahang mempunyai wakil dalam Majlis Perundingan Belia Negeri (MPBN) yang menjadi 'parlimen' kepada hal ehwal belia di negeri ini.

Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang

Bersesuaian dengan kriteria sebuah pertubuhan belia, ABIM Pahang merupakan salah sebuah badan gabungan kepada Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang. MBN Pahang menjadi rakan yang sangat strategik dalam hal ehwal pembangunan belia khususnya dalam aspek latihan dan kepimpinan. MBN Pahang menyediakan ruang kepada belia-belia untuk mengasah bakat dan kepimpinan untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Di samping itu, MBN Pahang merupakan forum yang sangat aktif untuk ABIM Pahang meluaskan rangkaian dengan pertubuhan-pertubuhan belia yang lain di negeri Pahang. ABIM Pahang juga tidak pernah ketinggalan untuk menghantar perwakilan dalam setiap Mesyuarat Agung MBN Pahang.

ABIM Pusat dan ABIM Negeri-Negeri

Sebagai sebuah organisasi cawangan, ABIM Pahang juga mempunyai jaringan dengan ABIM di seluruh negara samada di peringkat kebangsaan (pusat) mahupun negeri-negeri yang lain. ABIM Pahang akan terlibat dalam koordinasi bersama penganjuran program, kesatuan dasar dan halatuju, keseragaman gerak kerja dan aktivisme serta pengukuhan bersama institusi dan agensi. Program-program di peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh ABIM Pusat dan program-program peringkat negeri yang dianjurkan oleh ABIM Negeri lain turut disertai oleh ABIM Pahang. ABIM Pahang menjadi ahli kepada Forum-Forum Penyelarasan peringkat kebangsaan seperti Majlis Syura Tertinggi ABIM, Majlis Presiden dan Majlis Setiausaha Negeri (MASURI).

Institusi dan Agensi ABIM

Selain mempunyai jaringan dengan ABIM Pusat sebagai organisasi induk, ABIM Pahang juga menjalinkan jaringan dengan institusi-institusi serta agensi-agensi yang telah ditubuhkan oleh ABIM untuk tujuan-tujuan khusus dalam usaha dakwah dan tarbiyah. Agensi-agensi seperti Koperasi Belia Islam (KBI) Malaysia, Islamic Outreach ABIM (IOA), Global Peace Malaysia (GPM), Kolej Darul Hikmah (KDH) dan Yayasan Takmir Pendidikan (YTP) sentiasa bekerjasama dengan ABIM Pahang dalam semua aspek. Gerakkerja agensi ini juga dipanjangkan sehingga ke negeri Pahang melalui wakil perhubungan ataupun exco yang bertanggungjawab.

Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH) Negeri Pahang

WADAH Pahang merupakan sebuah pertubuhan yang baru ditubuhkan bertujuan untuk menjadi platform kepada ahli-ahli ABIM yang melepasi usia belia untuk terus bergiat aktif dalam masyarakat. WADAH Pahang menumpukan gerak kerja pengisian, penyuburan intelektual serta dakwah secara langsung dengan masyarakat.

Ikatan Pengkajian Islam Pahang (IKATAN)

IKATAN merupakan pertubuhan yang mempunyai aspirasi yang sama dengan ABIM Pahang. IKATAN lebih menumpukan kepada gerak kerja pembangunan dan latihan kepada segmen pelajar di kalangan masyarakat. Kerjasama yang terjalin di antara ABIM Pahang dengan IKATAN membolehkan lebih banyak program-program dakwah dan latihan dianjurkan dan boleh disertai oleh golongan pelajar sekolah dan IPT.

Sekretariat Dakwah Islamiyah Pahang

Sekretariat yang ditubuhkan pada tahun 2008 ini diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan dan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan. Dianggotai oleh semua pertubuhan dakwah di negeri Pahang, sekretariat ini berperanan sebagai platform untuk membincangkan isu-isu berkaitan agama Islam, penyelerasan program dakwah secara bersama serta membantu JAIP dalam menganjurkan program-program dakwah di peringkat negeri Pahang.

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More