Kursus ini telah diadakan pada 4 dan 5 April 2009 yang lalu bertempat di Dewan Seminar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan. Program ini bertujuan untuk mendedahkan peserta dengan konsep seorang da'ie, menimbulkan kesedaran mengenai kepentingan dakwah melalui pelancongan masjid, menyampaikan Islam kepada tetamu ALlah SWT secara berhikmah serta memahami tanggungjawab dan kegiatan kesukarelaan.
Perasmian pembukaan telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Mohd. Ghazali bin Abdul Aziz yang merupakan Timbalan Pengarah JAIP. Pengisian program telah dibahagikan kepada 3 jenis iaitu ceramah-teori, bengkel dan sesi praktikal dakwah.
Dalam sesi Forum, Ustaz Sharafuddin Aisa (Imam Besar Masjid Negeri) telah menjelaskan mengenai kedudukan orang bukan Islam yang memasuki masjid. Manakala Sdr. Amidi Abdul Manan (YDP ABIM Pahang) pula menghuraikan peranan NGO dan kegiatan kesukarelaan dalam menyebarkan mesej dakwah kepada bukan Islam. Seterusnya, Sdr. Abdul Latip Pozan (sukarelawan IOA) dan Sdr. Hafiz Kelvin (petugas IOA) pula berkongsi pengalaman dan cabaran yang dialami sebagai sukarelawan pemandu pelancong di Masjid Negara dan Masjid Putrajaya.
Ceramah diteruskan dengan pembentangan yang
Kursus hari pertama diakhiri dengan sesi bengkel bagi melatih peserta supaya mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai konsep dakwah melalui pemandu pelancong ini selain pendedahan terhadap jenis-jenis soalan yang biasanya ditanyakan oleh pelancong samada berbentuk informatif atau provokatif.
Hari kedua kursus dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti praktikal dakwah. Pembentangan telah disampaikan oleh Pn. Normah Sulaiman (Naib Pengerusi IOA) mengenai Laluan Berpandu dan Aspek Informasi manakala Sdr. Abdul Latip Pozan membuat taklimat mengenai cara untuk menyampaikan mesej mengenai masjid kepada pelancong dari segi senibina, sejarah dan kemudahan. Beliau seterusnya memimpin sesi praktikal dakwah selepas itu.
Sesi praktikal menjadi lebih 'hidup' kerana tanpa disangka-sangka satu rombongan pelancong telah tiba di Masjid Negeri. Para peserta kursus telah melihat sendiri bagaimana Sdr. Abdul Latip mengendalikan pelancong daripada mula sehingga pelancong tersebut meninggalkan masjid. Tidak kurang juga terdapat peserta yang mengambil peluang untuk mencuba bakat mereka sebagai pemandu pelancong semasa sesi praktikal ini.
Kursus ini ditutup dengan rasminya oleh Imam Besar Masjid Negeri. Majlis Penutup turut dihadiri oleh Tn. Hj. Ahmad Raffli bin Ab. Malek yang merupakan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid, JAIP.
Perbincangan lanjut akan diadakan di antara pihak ABIM Pahang bersama-sama dengan pihak Masjid Negeri supaya gerak kerja pemandu pelancong di Masjid Negeri akan dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan berkesan. Kerjasama-kerjasama daripada agensi kerajaan yang berkaitan juga akan diusahakan bagi menjayakan lagi usaha ini.



0 ulasan:
Post a Comment