"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

6.3.11

MODEL KEPIMPINAN LIBERATIF: MENANGKAP MESEJ KISAH TALUT DALAM AL-QUR'AN

Nota Kuliah Tafsir Maudhuiy ke 57
Disampaikan oleh Ybhg. Dato' Dr. Siddiq Fadzil (Presiden WADAH)




Rumusan Kisah Talut dan Bani Isra`il 

Kemunculan tokoh Talut sebagaimana yang dikisahkan dalam surah al-Baqarah:246-252 dilatari oleh kesedaran suatu bangsa (Bani Isra'il) yang ingin bangkit dari kehinaan akibat kalah perang. Kekalahan telah mengakibatkan kehilangan segala-gala: kampung-halaman,maruah, kemerdekaan dan hak-hak kemanusiaan lain termasuk warisan suci Tabut yang sangat bererti dalam tradisi keagamaan mereka. Kalangan elit (al-mala') sebagai golongan paling terkesan dengan akibat kekalahan, berasa terdesak untuk bertindak melakukan perang balas menebus kekalahan.

Tetapi mereka tidak mempunyai tokoh yang berkompetensi memimpin kebangkitan semula bangsa yang telah ditimpa trauma kekalahan. Untuk itu mereka meminta nabi mereka mengangkat pemimpin yang mampu melaksanakan misi tersebut. Reaksi awal nabi adalah peringatan tentang kemungkinan mereka tidak melaksanakan komitmen perang apabila sampai masanya nanti. Dalam sejarahnya memang mereka adalah bangsa yang selalu berdolak-dalik, selalu lari dari tanggungjawab.

Mereka mempertegas kesanggupan berperang dengan menyatakan bahawa petaka yang menimpa mereka selama ini (terusirnya mereka dari kampung-halaman dan tertawannya anak-anak mereka di tangan musuh) cukup untuk memperkuat tekad perjuangan mereka. Dengan petunjuk Tuhan, nabi mereka mengumumkan pemilihan Talut menjadi pemimpin mereka. Golongan elit al-mala' keberatan menerima Talut dengan alasan ia tidak berdarah pemimpin (bukan keturunan pemimpin) dan tidak memiliki kekayaan. Demikianlah mereka mempersepsikan kepimpinan sebagai kebesaran yang berasaskan warisan dan kekayaan.

Selain itu sebenarnya para elit itu sendiri masing-masing menyimpan keinginan menjadi pemimpin. Berasaskan dua kriteria (keturunan dan kekayaan) mereka berasa lebih layak berbanding Talut. Pengangkatan Talut adalah ketetapan Ilahi yang tidak boleh ditawar-tawar lagi. Sikap dan mentaliti kebendaan kaum elit tersebut tidak boleh dilayani. Cara menundukkan mereka ialah dengan bukti mukjizat: pengembalian Tabut dari tangan musuh, iaitu apabila Tuhan memerintahkan malaikat mengusungnya dan menempatkannya di rumah Talut.

Dengan 4 pembuktian seperti itu mereka tidak dapat berhujah dan berdalih lagi. Namun demikian mereka masih perlu diuji terutama dari segi kesetiaan dan ketahanan daya juang. Dalam perjalanan ke medan tempur Talut menguji mereka dengan tidak membenarkan sesiapa pun minum air sungai yang mereka lewati walaupun ketika itu mereka sedang kepanasan dan kehausan.

Ketika itu sebahagian besar mereka gugur sebagai drop-outs perjuangan. Bagaimanapun perjuangan tetap diterusnya dengan jumlah yang tersisa. Sekali lagi mereka diuji pada saat pertempuran akan segera dimulai. Sebahagian mereka patah semangat dan hilang keyakinan ketika berhadapan dengan kekuatan pihak lawan pimpinan Jalut yang tampak begitu menggerunkan. Hanya yang memiliki iman hakiki yang tetap yakin dengan kuasa Allah, sumber segala kekuatan.

Apabila Allah menghendaki, kekuatan sebesar mana pun akan lumpuh dan rapuh. Penentunya bukan jumlah, tetapi kualiti manusia pelakunya. Tidak sedikit kelompok kecil yang dapat mengalahkan kelompok besar apabila berlaku divine intervention, iaitu ketika kelompok kaum mukminin yang kecil itu pada hakikatnya hanya menjadi "tabir" suatu kekuatan yang tidak terkalahkan, kekuatan Allah Yang Maha Gagah Maha Perkasa.

Demikianlah yang terjadi, mulai pusingan pertama pihak lawan sudah kalah. Tidak siapa yang menduga anak muda bernama Dawud tiba-tiba muncul menyanggupi pertarungan satu lawan satu dengan Jalut sendiri, dan berakhir dengan terpenggalnya kepala panglima perang yang terkenal hebatnyanya itu. Gugurnya Jalut menjadikan pertarungan seterusnya menjadi urusan mudah bagi pasukan pimpinan Talut.

Iktibar dari Kisah

Rasa dianiaya, diperhamba, dihina dan dimalukan adalah faktor pencetus kebangkitan. Apabila musibah seperti itu menimpa suatu bangsa, satu-satunya pilihan untuk mengembalikan maruah dan hak-haknya adalah bersatu di bawah pimpinan tokoh yang kompeten: bijaksana, adil, berintegriti, perkasa dan berani.

Pemimpin dengan kualiti sedemikian itulah yang mampu melaksanakan misi pembebasan sebagaimana yang dialami oleh Bani Isra'il di bawah pimpinan Talut. Golongan yang pertama sedar tentang nasib bangsa adalah para elit: ulama, cendekiawan dan kaum terpelajarnya. Dalam konteks kisah ini mereka adalah golongan al-mala' yang mengangkat idea pelantikan pemimpin-pejuang pelaksana cita-cita kebangkitan. Demi survival umat, kepimpinan seharusnya diamanahkan hanya kepada yang memenuhi kriteria keilmuan, pengalaman, kewibawaan dan kompetensi.

Mempersepsikan kepimpinan sebagai hak monopoli golongan hartawan dan keturunan keluarga tertentu adalah persepsi yang salah dan berbahaya. Tradisi kepimpinan yang berasaskan faktor kebendaan, warisan, sahabat dan kerabat berakibat terkorbannya kualiti dan kompetensi. Tanpa kepimpinan yang berkualiti, nasib bangsa tidak akan berubah.

Dalam keadaan wujudnya perbezaan pendapat tentang siapa yang selayaknya diangkat menjadi pemimpin, harus ada kaedah dan kuasa penentunya. Dalam kes Bani Isra'il seperti yang terungkap pada ayat tersebut, kuasa penentunya adalah nabi mereka. Dalam konteks umat Islam pula adalah Nabi s.`a.w., dan sesudah kewafatannya kuasa penentu beralih ke tangan ahl al-hall wa al-`aqd, iaitu golongan ulama dan mereka yang berkedudukan mewakili umat.

Pilihan lain adalah umat sendiri yang menjadi penentu (kuasa rakyat). Pengangkatan pemimpin harus berasaskan syarat-syarat kelayakan keilmuan dan kemampuan fizikal. Yang dimaksudkan dengan kelayakan keilmuan adalah meliputi segala bidang ilmu yang relevan dengan fungsi dan misi kepimpinannya, terutama ilmu keagamaan.

Penguasaan ilmu dalam konteks kepimpinan tidak terbatas hanya pada tahap pengetahuan, tetapi harus meliputi aspek penghayatannya sehingga tercermin pada pola fikir dan perwatakannya. Sementara yang dimaksudkan dengan kelayakan fizikal pula adalah meliputi makna salamat al-hawas, iaitu kesihatan jasmani dan inderawi, serta stamina bekerja sehingga segala tugas kepimpinannya terlaksana dengan sempurna dan berkesan.

Selain dua syarat asasi tersebut, masih ada syarat-syarat tambahan lain yang perlu untuk memperkukuh kepimpinannya seperti kekuatan pengaruh dan kesesuaian dengan realiti semasa. Apabila Tuhan menetapkan syarat-syarat kelayakan kepimpinan seperti bastatan fi al-`ilmi wa al-jism dalam konteks Talut, hafizun `alim dalam konteks Nabi Yusuf `a.s., dan al-qawiyy al-amin dalam konteks Nabi Musa `a.s., semuanya adalah demi maslahah kemanusiaan sesuai dengan sifat Maha Adil dan Maha Hakim-Nya.

Kepatuhan kepada pemimpin adalah syarat penting kejayaan misi perjuangan. Tanpa disiplin kepatuhan, tidak mungkin berlaku penggemblengan kekuatan warga umat. Syarat ini tidak pula bererti penafian hak warga untuk menegur, menasihati dan mengkritik pemimpin. Dalam kaitan inilah perlunya keseimbangan antara kepatuhan umat dengan tanggungjawab pemimpin. Dalam perjuangan melaksanakan misi dan visi, diperlukan pula proses mendidik dan menguji warga umat. Mereka harus dibina dengan nilai-nilai mulia: iman, taqwa, sabar, tawakkal dan lain-lain kerana di sepanjang jalan akan banyak ujian dan dugaan.

Di samping keperluan mendidik dan membina kualiti umat, harus ada kesiapan mental-psikologikal untuk menghadapi kenyataan akan berlakunya drop-out dalam perjuangan. Keciciran boleh berlaku di mana-mana, di pangkal, di tengah dan di hujung perjalanan. Dari satu segi fenomena tersebut adalah suatu proses penapisan untuk mengenalpasti golongan teras yang komited sepenuhnya kepada misi dan idealisme perjuangan. Golongan inilah yang sebenarnya menjadi tonggak kekuatan umat. Bilangan mereka mungkin tidak ramai, tetapi kekuatan sebenarnya bukan sangat pada angka. Yang lebih menentukan adalah kualiti iman dan tingkat ketaqwaan.

Do`a dan tadarru` memohon pertolongan Allah sebagai satu-satunya sumber kekuatan adalah sangat penting, terutama ketika melintasi saat-saat genting dalam perjuangan. Itulah yang dilakukan oleh angkatan yang setia bersama Talut pada saat berhadapan dengan kekuatan tentera Jalut. Do`a tulus kelompok teras (mukmin sejati) itu tembus langsung didengar dan diperkenan oleh Yang Maha Berkuasa. Allah mempunyai cara tersendiri, yang seringkali tidak terduga untuk menolong hamba-hamba-Nya yang layak.

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More