KUANTAN - Sebuah kompleks menempatkan Sekolah Rendah Islam (SERI) dan Sekolah Menengah Islam (SEMI) Indera Mahkota bakal dibina bagi menampung pertambahan jumlah pelajar institusi pendidikan yang dibina sejak 1991 itu.
Sejajar dengan hasrat tersebut, Ahli Jawatankuasa Pengelola dan Pembangunan Sekolah berusaha untuk mengumpulkan dana bagi membangunkan kompleks yang serba lengkap untuk keselesaan pelajar dan warga pendidiknya.
Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pahang, Muhammad Hisyamudin Baharudin berkata, kos pembinaan kompleks tersebut dianggarkan RM13.5 juta (anggaran 2006) dan ia dijangka akan meningkat.
Menurutnya, berikutan kekangan sumber kewangan, kompleks yang dicadangkan dibina atas sebidang tanah di Jalan Kompleks Tun Abdul Razak, Bandar Indera Mahkota di sini akan dibangunkan mengikut fasa.
"Untuk fasa pertama, kos pembangunannya diangarkan berjumlah RM3.5 juta (anggaran 2006) melibatkan pembinaan blok pentadbiran tiga tingkat yang dilengkapi bilik guru, pejabat pentadbiran dan bilik mesyuarat.
"Dalam fasa sama, sebuah blok akademik empat tingkat dilengkapi bilik darjah, pusat sumber dan makmal akan didirikan selain sebuah kantin dan surau," katanya.
Muhammad Hisyamudin berkata, dengan terbinanya kompleks itu kelak, masalah kesesakan di SERI Indera Mahkota akan diatasi dan jumlah penambilan pelajar dapat ditambah.
"Sehubungan dengan itu kita mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk bersama-sama membantu merealisasikan cadangan ini dengan menghulurkan derma atau melalui pembelian lot wakaf bernilai RM50 untuk satu kaki persegi.
"Sebarang maklumat orang ramai boleh menghubungi talian 09-5733182 atau layari laman web www.sri-inderamahkota.edu.my," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, ABIM Pahang juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk menampung kos operasi rumah anak yatim dan fakir Baitul Husna Bukit Sekilau dekat sini.
"Rumah kebajikan yang dikelola ABIM itu kini menempatkan 10 kanak-kanak perempuan dan berperasi sejak Mac tahun ini," katanya.
Sumber : Sinar Harian Pahang, Khamis 19 Ogos 2010, Sentral P3









0 ulasan:
Post a Comment