"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

19.7.10

Malam Prihatin Palestin; Kami Bersamamu

INDERA MAHKOTA, 18 Julai 2010 - Program Ahad malam lalu ada kelainannya berbanding program-program prihatin Palestin seperti sebelum-sebelum ini. Kehadiran Sdr. Mohd Nizam Awang (Haluan Palestin) yang merupakan salah seorang relawan di atas kapal Mavi Marmara berjaya menyentuh perasaan peserta. Turut hadir menjayakan program ialah kumpulan nasyid Shoutul Harakah dari Indonesia yang terkenal dengan lagu-lagu perjuangan dan Palestin.


Program anjuran NGO-NGO Islam Pahang (Barakah) dengan kerjasama UIAM Kampus Kuantan kali ini memberikan tumpuan kepada pemuda pemudi di sekitar Kuantan. Dengan temanya Pemuda Prihatin, program ini berjaya menghimpunkan 800 orang pelajar IPTA/S di sekitar Kuantan selain daripada kehadiran orang awam. ABIM Pahang merupakan salah satu penganjur bersama program ini.


Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Profesor Datuk Dr. Kamaruzaman Wan Su dalam ucapan alu-aluanya memetik beberapa ayat Al-Quran daripada Surah Al-Baqarah yang menceritakan mengenai sifat-sifat Bani Israel. Ternyata sikap keras hati, sombong dan angkuh Bani Israel tetap kekal sehingga hari ini walaupun sudah disebutkan dalam Al-Quran sejak sekian lama.


Sdr. Mohd Nizam Awang pula berkongsikan pengalamannya bersama relawan-relawan lain semasa tragedi serangan komando Israel. Relawan Malaysia dan Indonesia ditugaskan untuk menjaga bahagian kiri MM semasa keadaan mula menjadi tegang. Serangan di awal pagi Subuh itu kemudiaannya ditayangkan dalam bentuk video oleh Sdr. Mohd Nizam. Ramai yang cedera tidak dapat dirawat dan hanya dibiarkan berehat kerana dihalang oleh komando Israel. Mereka yang syahid juga ditunjukkan dalam video tersebut. Relawan yang selamat diikat tangan dan diletakkan di dalam dek kapal tanpa dibenarkan untuk membuka air-cond selain daripada tidak dibenarkan untuk pergi ke tandas.


Kekejaman Israel tidak terhenti di atas kapal semata-mata. Semasa di penjara mereka telah dihidangkan dengan makanan dan buah-buahan. Namun, makanan tersebut rupa-rupanya beracun. Relawan dari Indonesia dilaporkan telah positif arsenik pada ketika ini. Relawan yang cedera seperti Sdr. Surya (media Indonesia) lebih malang apabila beliau ditembak di dada kanan. Beliau dimasukkan ke Hospital di Israel selama 3 minggu tetapi beliau telah dibedah daripada dada hingga ke perut. Lebih memeranjatkan, selepas beliau pulang ke Indonesia, peluru di dalam dada kanannya masih belum dikeluarkan lagi!!


Progam malam itu juga diselitkan dengan persembahan nasyid daripada pelajar-pelajar UIAM Kuantan selain daripada deklamasi sajak daripada pelajar UIAM dan KIPSAS. Persembahan kumpulan Shoutul Harakah berjaya menaikkan semangat pemuda pemudi Islam di Kuantan dengan lagu-lagu yang cukup bersemangat dan sarat dengan mesej kesedaran serta perjuangan.


Nota : Gambar Surya dibedah dada dan diperut diambil dari laman LL4G.

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More