"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

1.6.10

350 belia sertai Ziarah Ukhwah Rasulullah

KUANTAN 1 Jun - Seramai 350 belia dan beliawanis terlibat meraikan sambutan Hari Belia dengan membantu masyarakat warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berpendapatan rendah di daerah ini.

Program yang diberi nama Ziarah Ukhwah Rasulullah itu melibatkan belia dari Maahad Tahfiz Kuantan, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Kelab Kereta Viva.

Melalui program selama sehari kelmarin, mereka menyampaikan sumbangan seperti wang tunai dan barangan keperluan asas kepada penduduk di Kampung Peramu di sini dan turut membaiki dua buah rumah yang telah usang.

Seorang pelajar dari Maahad Tahfiz Kuantan, Mohd. Aminur Rahman Mohamed Rashid, 19, berkata, dengan penganjuran program seperti ini, dia dapat mendekatkan diri dan membantu golongan yang tidak bernasib baik.

''Saya berharap program ini dapat diadakan dengan lebih kerap sejajar dengan gagasan 1 Malaysia iaitu 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' dan ia bertepatan dengan seruan tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Peramu, Tanjung Lumpur di sini kelmarin.

Bagi Siti Hajar Wan Ibrahim, 17, pelajar Maahad Tahfiz, dia begitu teruja untuk membantu golongan warga emas dan golongan berpendapatan rendah memandangkan sebelum ini dia tidak pernah berpeluang menyertai program sebegini.

Selain itu, katanya, dia juga berpeluang melihat sendiri bagaimana wakil rakyat menjalankan tanggungjawab mereka sehingga terpaksa memasuki kawasan yang agak berisiko dalam program seumpama ini.

''Saya amat berterima kasih diberi peluang menyertai program ini kerana dapat sama-sama merasai kesusahan yang mereka tanggung selama ini dan saya berharap program ini diteruskan kerana ramai lagi yang memerlukan bantuan," katanya.

Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Datuk Wan Adnan Wan Mamat.

Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Zainun Ali, 65, berkata, sebelum ini dia tidak pernah menerima sumbangan daripada mana-mana pihak dan tidak menyangka sepanjang 10 tahun menderita tidak boleh berjalan, ini adalah kali pertama dia menerima bantuan.

''Makcik terlalu gembira kerana sumbangan ini amat besar maknanya untuk makcik dan berpeluang bertemu dengan wakil rakyat dan belia yang banyak membantu," jelasnya.

Bagi Abdullah Husin, 40, dia amat bersyukur kerana mendapat perhatian daripada golongan belia yang membantu membaiki atap rumahnya yang bocor sehingga memberi keselesaan kepada isteri dan empat orang anaknya.

Dia yang sudah tiga tahun menghidap penyakit usus tidak mampu untuk melakukan pekerjaan sebelum ini sebagai nelayan dan hanya berharap bantuan daripada subsidi nelayan dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Sumber : Utusan Online

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More