"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

28.10.09

Pelaksanaan Hukuman Sebat Syariah Penuh Dengan Hikmah

KUANTAN, 25 Okt 2009 ~ Menurut Islam, hukuman yang dijatuhkan ke atas penjenayah yang terbukti bersalah adalah satu proses penyucian dosa yang dilakukannya. Pesalah yang menjalani hukuman syariah dikira bersih daripada dosa. Demikian menurut Ustaz Haji Azlan bin Abd. Rahman semasa membentangkan kertas kerja bertajuk "Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Kesalahan Syariah, Arak dan Zina" di dalam program Seminar Pelaksanaan Perundangan Jenayah Syariah; Isu dan Cabaran, di sini, hari ini.



Sebelum itu, beliau memberikan definisi jenayah dengan memetik Imam Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniyyah (ms 192) yang merujuk kepada segala bentuk kesalahan yang melanggar batas syariah yang boleh dihukum sama ada qisas, hudud atau takzir. Demi menjaga kemuliaan agama, nyawa, akal, harta dan maruah, Islam telah menetapkan setiap kesalahahan syariah mestilah dihukum.



Seterusnya, beliau menjelaskan objektif hukuman jenayah Islam adalah untuk menjadi pembalasan, langkah pencegahan supaya penjenayah menjadi serik dan insaf, masyarakat gerun untuk melakukan jenayah, serta proses pemulihan. Merujuk kepada jenayah arak secara khusus, Ustaz Azlan menjelaskan minum arak sebagai salah satu jenayah hudud adalah merupakan dosa besar dan pencetus kerosakan hidup manusia. Justeru hukuman kepada pelakunya adalah sangat berat iaitu sebatan yang menjadi Ijmak di kalangan para ulamak.

Cuma, mereka berbeza pendapat jumlah sebatan. Ada yang mengatakan 80 sebatan, iaitu menurut pendapat Imam Malik, Abu Hanifah dan satu riwayat daripada Imam Ahmad. Imam Syafie dan satu pendapat daripada Imam Ahmad pula mengatakan kadar hukumannya adalah 40 sebatan.

Beliau kemudiannya menjelaskan, menurut Imam Syaukaniy dalam kitab Nail al-Autar, jilid 7, (ms 249), alat sebat yang boleh digunakan selain daripada rotan ialah pelepah tamar, kasut, hujung kain dan tangan.

Keistimewaan hukuman sebat menurut hukum syarak secara jelas telah dihuraikan di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan1987), Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 melalui Seksyen 125 dan 126 Enakmen itu. Antara lain seksyen ini menerangkan alat sebatan yang digunakan dan cara perlaksanaan hukuman sebat dijalankan.

  1. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat daripada rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 cm.

  2. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.

  3. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan.

  4. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.

  5. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.

  6. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan disebat dalam keadaan duduk.

  7. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat tidak boleh mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.

  8. Pegawai Perubatan Kerajaan akan memperakukan sama ada pesalah itu masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan.

  9. Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut Hukum Syarak.

  10. Selepas mengenakan satu sebatan,tukang sebat hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya.


Ustaz Azlan kemudiannya membuat demonstrasi hukuman sebat syariah di hadapan semua peserta seminar, VIP dan wartawan. Sesungguhnya dengan pembentangan yang dibuat oleh beliau, telah berjaya memberikan kefahaman yang jelas kepada masyarakat umum mengenai pelaksanaan humuman sebat syariah yang digambarkan sebagai kejam oleh sesetengah pihak.

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More