"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

9.9.09

Keistimewaan Tata Cara Menjalani Ibadah Puasa

Nota Tazkirah
Oleh : Sdr Drs Mohd Salleh Albakri,M.A bin Haji Mohd Tahir

Apabila terdapat banyaknya soalan yang berkisar tentang ibadah puasa sering dipertanyakan orang asal datangnya kembali bulan Ramadhan adalah sebahagian dari rukun Islam yang disambut hanya setahun sekali sejak dari tahun ke 2 hijrah lagi sehinggalah pada tahun ini. Selain kita diperbolehkan berpuasa di bulan Rejab (Bulan Allah) dan juga pada bulan Syaaban (bulan Rasulullah) serta juga ikut turut berpuasa pada bulan Ramadhan (bulan umat Islam) yang merupakan bulan rahmat dan penuh pengampunan sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah Al-baqarah ayat 183 yang berbunyi "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang benar-benar bertaqwa".

Begitu juga yang ditegaskan oleh Rasullullah SAW melalui sabdanya yang diriwayat oleh Ahmad, An-Nasa'i dan Al-Baihaqi dari Abu Hurairah yang bermaksud " Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu surga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan......" Maka ada pun definisi puasa adalah menahan diri daripada makan dan minum termasuk perkara yang mampu membatalkan ibadah puasa mulai terbit fajar sidik sehingga tenggelamnya matahari.

Namun hakikatnya ibadah puasa bukannya setakat dikerjakan semata-mata di bulan Ramadhan sahaja tetapi ianya terbahagi kepada beberapa kategori iaitu;

(1) Puasa fardhu/wajib di antaranya di bulan Ramadhan, puasa Qada' dan Nazar
(2) Puasa sunat di antaranya puasa enam iaitu puasa di bulan Syawal selepas Hari Raya Aidilfitri, termasuklah juga puasa sunat pada hari-hari yang ditetapkan seperti khamis dan isnin.
(3) Puasa pada Hari Arafah 9 Zulhijjah dan hari Asyura pada 10 bulan Muharam
(4) Puasa hari "aman" iaitu 13/14/15 setiap bulan kecuali Zulhijjah
(5) Puasa pada hari Nisfu Syaa'ban sebagai latihan "pra-Ramadhan.

Begitu juga diharamkan puasa iaitu;
(1) pada hari syak 30 syaaban
(2) hari raya Aidil Fitri 1 syawal
(3) hari raya Aidil Adha 10 Zulhijjah
(4) Hari Tasyrik pada 11,12,13 Zulhijjah
(5) puasa bagi perempuan haid/nifas
(6) puasa sunat perempuan yang tanpa izin suaminya
(7) puasa orang yang bimbang akan keselamatan dirinya jika terus berpuasa
(8) Puasa untuk orang lain dan yang ghaib atau bukan diniatkan kerana Allah.

Maka tentu ada orang akan bertanya apakah syarat wajib untuk berpuasa. Syarat wajib tersebut cukuplah;
(1) Islam
(2) Baligh
(3) Mumaiyyiz (berakal)
(4) Berkemampuan / mempunyai kudrat untuk berpuasa.

Manakala ibadah puasa itu dianggap sah apabila seseorang itu;
(1) Islam
(2) mumaiyyiz
(3) suci dari haid / nifas bagi perempuan
(4) nawaitu (niat)
(5) Tiada makan dan minum
(6) Hari yang diharuskan berpuasa (iaitu bukan dalam tempoh haram berpuasa).

Bagaimana pula rukun puasa tersebut? Tentulah seseorang itu;
(1) Nawaitu (niat)(Terutama puasa wajib) iaitu "sahaja aku puasa esok dan sehingga akhir Ramadhan kerana Allah Taala" atau niat puasa sunat cukup berkata : "sahaja aku berpuasa esok hari kerana Allah Taala". Sebenarnya bangun sahur itu sudah pun dikira berniat puasa (waktu berniat puasa bermula dari waktu maghrib hingga sebelum masuknya waktu subuh).
(2) tidak makan dan minum
(3) melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa bermula fajar sidik sehingga tenggelamnya matahari.

Setelah puasa itu kita telah pun dijalaninya dengan tekun, maka disunatlah pula selama kita berada dalam keadaan berpuasa agar;
(1) menyegerakan berbuka puasa dengan membaca doa " Ya Allah, aku telah berbuka puasa untuk Kau dan pada Kau aku mempercayainya dan aku berbuka puasa dengan apa yang dikurniakan, amin... serta disunatkan berbuka dengan buah kurma atau benda-benda manis (kueh) atau air
(2) melewatkan sahur
(3) membaca Al-Qur'an
(4) berbuka secara ringan dan tidak pula terlalu berat
(5) Tidak sesekali bercakap perkara yang tidak berfaedah
(6) mengerjakan ibadah sunat di malam harinya seperti solat terawih dan sembahyang malam serta witir.
(7) Menjamu orang yang mahu berbuka puasa
(8) Memperbanyakkan membuat kebajikan terhadap orang yang perlu diberi perhatian terutama anak yatim, ibu tunggal, fakir miskin.

Sesudah itu kita juga harus mengetahui apa sahaja yang boleh membatalkan puasa tersebut antara lainnya;
(1) Sengaja mengeluarkan air mani di siang hari termasuklah melakukan persetubuhan di siang hari tersebut
(2) mabuk/gila
(3) tidak sedarkan diri/pensan
(4) bersalin
(5) muntah dengan sengaja
(6) memasuki sesuatu dalam rongga badan
(7) murtad
(8) Dalam keadaan haid / nifas
(9) makan dan minum
(10) lain-lain yang boleh membatalkan puasa (merokok atau hisap ganja).

Dalam Islam tidak sekali memberatkan umatnya meneruskan puasa tetapi mengharuskan segera berbuka terutama;
(1) apabila seseorang itu mendapat sakit yang memudaratkan / sulit harapan untuk sembuh
(2) Orang tua yang telah uzur
(3) Ibu-ibu yang sedang mengandung atau masih menyusukan bayinya
(4) Musafir yang berjalanannya masih jauh
(5) lain-lain yang diharuskan untuk segera berbuka (buruh kasar).

Namun kita harus ingat akan wajibnya qada puasa tersebut iaitu dengan maksud (definisi) menggantikan puasa tersebut apabila terbatal di atas diharuskan berbuka oleh syarak terutamanya;
(1) Musafir tadi
(2) orang yang sakit mudarat tadi apabila sudah sembuh
(3) wanita yang haid/nifas/bersalin tadi
(4) ibu-ibu yang mengandung/menyusu bayi tadi yang bimbang akan kesihatan dirinya dan anaknya tersebut
(5) Orang yang bekerja berat seperti orang yang bekerja di panas terik dan mengangkat benda-benda berat serta seumpamanya.

Manakala Islam hanya mengenakan wajib fidyah dengan maksud (definisi) memberi secupak makanan kepada fakir miskin untuk satu hari puasa yang ditinggalkan oleh golongan tadi iaitu;
(1) pesakit yang memang tiada harapan untuk sembuh
(2) orang yang bekerja berat
(3) orang tua yang begitu uzur.

Sedangkan Islam juga mengenakan wajib qada dan fidyah teristimewa untuk ibu-ibu mengandung dan menyusukan anaknya dengan melewatkan qada puasanya sehingga Ramadhan berikutnya.Begitu juga Islam telah mengenakan wajib qada dan kifarah kepada suami isteri yang melakukan jimak di siang hari di bulan Ramadhan dengan Dam atau denda bagi lelaki yang bersetubuh pada siang hari tadi dengan menerusi kemerdekaan hamba cahaya atau berpuasa 2 bulan berturut-turut atau memberi makan 60 orang fakir miskin.

Seterusnya perkara yang dimaafkan tetapi makruh hukumnya sekiranya;
(1) Menggosok / bersugi selepas gelincirnya matahari
(2) Menyejukkan badan dengan air seperti mandi ketika panas
(3) Memamah makanan untuk anak kecil dengan syarat tidak telan
(4) Memakai bau-bau
(5) Memasukkan sesuatu dalam perut melalui air liur tanpa disedari
(6) Termakan dengan tidak sengaja
(7) Bangun pagi dalam keadaan junub
(8) Bermimpi jimak (ihtilam) dan keluar mani pada siang hari tapi ianya tidak membatalkan puasa kecuali jika ia berkhayal syahwat barulah batal puasa tersebut sehingga keluar air mani tadi.
(9) Mengecap makanan dengan lidah tetapi tidak ditelan.

Perkara kemuskilan lain yang selalu dipertanyakan ketika berpuasa antara lainnya seperti berikut;
(1) Jika menelan air liur bersih yang tidak bercampur dengan benda lain tidak pula membatalkan puasa tetapi tidak pula disarankan meludah merata-rata.
(2) Begitu juga menyuntik ubat ke dalam badan tidaklah membatalkan puasa kecuali jika ia berbentuk vitamin atau makanan atau cara dokter/jururawat menyuntik dengan cara menolak/menarik (bagi mencampurkan ubat/darah)-menurut jumhur ulamak adalah batal puasa tersebut.
(3) Menderma darah menurut jumhur ulamak adalah batal puasa tersebut
(4) Bagi perempuan yang berjunub yang baru habis haid/nifas pada waktu malam diperbolehkan dia berpuasa walaupun melewatkan mengangkat mandi wajib sehingga terbit matahari
(5) Adalah haram berbuka puasa dengan sengaja tanpa sesuatu keuzuran
(6) Bagi mereka yang suka mengata, mengumpat, mengadu-domba, memaki, berzina pancaindera termasuk mata, termasuk berkhayal yang boleh menimbulkan syahwat yang mampu menghilangkan segala pahala puasa kecuali yang dia perolehi hanyalah lapar dan dahaga
(7) Satu lagi kebanyakkan kita yang suka berbuka puasa dengan cara "berlebih-lebihan" (mewah) akan menghilangkan nikmat puasa yang sebenarnya malah ibaratnya pada siang hari , kita membungkam nafsu tetapi apabila tiba waktu berbuka kita merajakan nafsu kembali sehingga tidak larat hendak mendirikan solat maghrib dan isyak serta solat terawih akibat leka berbuka puasa tadi sehingga sudah menjadi pesta budaya menjamu selera kini di setiap hotel atau di mana-mana hatta di padang bola pun sempat dijadikan pesta berbuka puasa. Sepatutnya kita lebih banyak mensyukuri rezeki dan menghayati maksud ibadah puasa sebenarnya.
(8) Bagi yang kaki rokok menurut jumhur ulamak berpendapat bahwa menyedut dan menghembus asap boleh membatalkan puasa.

Akhir kata sebenarnya,hikmah kita menjalani ibadah puasa adalah untuk meninggikan tingkat taqwa kita kepada Allah SWT.Selain itu ianya dapat menyihatkan tubuh badan kita baik dari segi peghadaman perut dan terbukti mengurangkan derita penyakit kronik. Ia juga melatih kita agar melahirkan sifat belas kasihan terhadap golongan miskin dan juga mampu menghancurkan hawa nafsu jahat termasuk syahwat serta membunuh sifat-sifat mazmumah penyakit hati seperti sangka-buruk, mengata,mengumpat dan lain-lainnya.

Marilah kita merenung pandangan Iman al-Ghazali yang telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan iaitu;
(1) puasa orang awan (shaum al-'umum) iaitu sekadar menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
(2) puasanya orang khusus (shaum al-khusus) turut berpuasa mulai dari pancaindera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.
(3) Puasanya orang istimewa (shaum al-khawasi-al-khawas) turut berpuasa hati nurani iaitu tidak memikir sangat soal keduniaan. Pembahagian di atas memberi kita untuk merenung dan menelaah tingkat posisi manakah kita berada.

Pahala puasa Ramadhan ini amat besar dan sangat rugilah orang yang meninggalkannya serta menanggung dosa besar kerana ianya tidak akan dapat ditebus kembali dengan apa jua sekalipun jika meninggalkannya dengan sengaja sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud " Sesiapa yang berbuka satu hari di bulan Ramadhan tanpa ada rukhsyah (uzur syarak) dan bukan juga disebabkan sakit, dia tidak akan dapat mengantikan puasa tersebut yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup". (Hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah). Semoga taskyirah Ramadhan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua dan saya akhiri wabillahi taufik wal hidayayah, asalamualaikum w.w,amin rabal-alamin.Selamat menjalani ibadah puasa bagi kaum muslimin dan muslimat.

Disediakan oleh :
Sdr Drs Mohd Salleh Albakri, M.A bin Haji Mohd Tahir
Setiausaha Abim Kawasan Kuantan
Mantan Ketua Komisaris Mahasiswa Pemikiran Moderan Dalam Islam, Program Pascasarjana IAIN Sulthan Syarif Qasim, Indonesia (2000-2002)

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More