"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

6.8.09

Memimpin Dan Membangun Belia Islam Menerusi Ilmu dan Perkhidmatan

Teks Ucapan Penangguhan Presiden ABIM ke 7
Sdr. Mohd. Razak bin Idris
Sempena Muktamar Sanawi ABIM kali ke 38




Assalamualaikum warahmatullah.

1. Pertamanya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Barisan Exco Abim Pusat sesi 2007/2009 di bawah kepimpinan Sdr Yusri Mohamad diatas segala usaha gigih mereka semua di dalam mengukuhkan Abim sebagai sebuah pertubuhan dan pergerakan belia Islam di peringkat nasional dan antara bangsa sepanjang beberapa sesi yang lalu.

2. Walaupun Sdr Yusri dan rakan-rakan exco yang lain telah berdepan dengan pelbagai cabaran dan keterbatasan, namun, kita semua telah melihat perkembangan Abim telah mekar dengan amat pesat sekali di dalam beberapa hal ehwal utama kegiatan kebeliaan sejak beberapa sesi yang lalu.


3. Perkembangan Abim ini dapat kita telusuri menerusi pelaksanaan, apa yang dikenali sebagai Agenda 3P iaitu Abim sebagai organisasi Pendidik, Pembela dan Prihatin. Menerusi Agenda sebagai Pendidik, Abim telah menumpukan usahanya di dalam mengukuhkan semula asas-asas kerohanian di dalam sistem pendidikan atau pentabiyahan organisasi. Usaha-usaha seperti penganjuran siri pengkajian ilmu-ilmu warisan kerohanian Islam seperti kuliah pengajian Kitab al-Hikam oleh Al-Fadhil Ust Fahmi Zam-Zam dan penerbitan buku “Kebangkitan Generasi Salehudin” adalah antara langkah-langkah yang wajar dipuji kerana ia dilihat penting bagi usaha pengukuhan semula tradisi pendidikan Islam untuk generasi muda dan belia.

4. Kita juga telah melihat sumbangan Abim di dalam menjayakan Agenda sebagai Pembela masyarakat. Didalam isu berkaitan permasalahan murtad atau pertukaran agama, Abim telah bersama-sama dengan pertubuhan Islam lain ke depan membela hak-hak masyarakat Islam di negara ini. Rentetan itu juga, sebuah pergerakan yang dikenali sebagai Pembela telah tertubuh bagi meneruskan usaha-usaha pembelaan terhadap isu-isu berkaitan hal ehwal perundangan Islam di dalam masyarakat majmuk.

5. Di dalam memperkasakan Agenda Prihatin, Abim telah terlibat langsung di dalam membantu beberapa krisis kemanusian terutama di Gaza Pelestin menerusi agensinya Global Peace Mission atau GPM. Di peringkat nasional, Abim juga telah berjaya menubuhkan Squad Prihatin dan Bridged Bakti sebagai sebahagian dari daya usaha bagi menonjolkan sifat berkepedulian sosial Abim kepada masyarakat.

6. Kepimpinan Abim pada sesi akan datang berazam akan meneruskan semangat dari Agenda 3 P ini dan akan berusaha agar ia akan terus diperkasakan pada masa akan datang.

7. Di samping langah-langkah tersebut, kepimpinan akan datang akan memberi tumpuan kepada usaha-usaha menjadikan Abim sebagai sebuah pertubuhan yang dikongsi kehadirannya oleh seluruh warga atau generasi belia Islam di Malaysia. Kita perlu berusaha dengan gigih bagi menjadikan Abim sebagai sebuah organisasi yang sentiasa dilihat, dirasai dan dikenali sebagai pemimpin bagi seluruh belia Islam di negara ini. Di dalam bahasa lain, kita hendaklah memastikan iaitu, apabila para belia Islam di negara ini ditanyakan apakah organisasi yang sedang memimpin mereka, mereka akan menjawab bahawa mereka sedang dipimpin oleh sebuah pertubuhan belia Islam yang dikenali sebagai Abim.

8. Bagi menjayakan usaha menjadikan Abim sebagai pertubuhan yang memimpin para belia Islam di Malaysia, beberapa langkah perlu kita semua laksanakan. Pertama ialah keperluan untuk kita meningkatkan kewibawaan pertubuhan Abim pada kacamata masyarakat dan belia Islam khususnya. Kedua, kita hendaklah memastikan setiap perancangan kegiatan dan program yang kita kelolakan akan melibatkan penyertaan oleh kelompok belia yang lebih meluas yang berada di segenap peringkat kelompok dan pelusuk samada di desa dan di bandar.

9. Untuk tujuan meningkatkan kewibawaan Abim pada kacamata masyarakat dan para belia Islam, saya ingin mencadangkan supaya pada sesi akan datang, Abim memberikan tumpuan kepada dua bidang usaha utama. Pertama ialah usaha menjadikan Abim sebagai sebuah organisasi ilmu. Dalam ertikata lain, kita hendaklah berusaha meningkatkan kewibawaan Abim menerusi pencapaian di dalam bidang ilmu pengentahuan dan pemikiran. Atau dalam kata lain, Abim hendaklah dikenali dan dirasai sebagai pertubuhan yang sedang memimpin belia Islam di dalam bidang ilmu pengentahuan. Abim hendaklah mempersiapkan dirinya sebagai sebuah pertubuhan yang menjadi sumber rujukan bagi belia Islam di dalam pelbagai aspek keilmuan terutama yang berkaitan dengan persoalan-persoalan kritikal pada masa kini yang meliputi aspek perundangan, pentadbiran, pengurusan keluarga, perekonomian, pembangunan sosial dan hal ehwal kenegaraan.

10. Cabaran menjadikan Abim sebagai pemimpin di dalam bidang keilmuan amat mendesak sekali pada masa kini. Ini kerana masyarakat Islam hari ini sedang berdepan dengan cabaran Islamophobia atau gejala rasa takut terhadap sebarang unsur dan pengaruh yang berlatarkan Islam. Sebagai sebuah organisasi ilmu, kita perlu ke depan mengemukan buah fikiran baru berasaskan dasar-dasar keilmuan yang sahih kepada masyarakat terbanyak supaya salah faham terhadap agama Islam dapat kita atasi. Dalam masa yang sama, kita boleh mewujudkan perasaan bangga di dalam hati dan perasaan belia apabila mereka bergelar sebagai seorang Muslim. Watak keislaman yang mencintai keamanan dan kejahteraan akan dapat dilahirkan menerusi proses pengukuhan ilmu pengentahuan yang bertunjangkan dasar-dasar kefahaman agama yang syumul atau bersepadu.

11. Saya berkeyakinan akan keupayaan Abim didalam memimpin belia Islam dari aspek ilmu pengentahuan. Ini kerana, pertubuhan kita masih belum lagi kegersangan tokoh-tokoh keilmuan yang berwibawa dari kalangan ahli dan pendokongnya. Kedua, ialah kerana sifat pertubuhan Abim yang mengamalkan pendekatan Islam yang bersikap sederhana. Sebagai sebuah pertubuhan yang diasaskan atas cita-cita melakukan prosess islah dan tajdid, atau pembaikan dan pembaharuan kepada masyarakat, Abim sejak dahulu lagi amat dinamik di dalam pendekatannya. Ruang perubahan dan pembaharuan sentiasa terbuka di dalam pergerakan kita dan ahli sentiasa diberi kebebasan untuk berkarya di dalam apa juga medan dakwah yang dipilih berdasarkan keupayaan dan kebolehan masing-masing. Saya yakin, kegiatan dakwah yang berasaskan Mahhaj Malazie atau pendekatan dakwah yang bercorak kemalaysiaan dari segi watak dan pembudayaannya akan menjadikan Abim terus dinamik dan kreatif di dalam menyumbang kepada penyemarakan kepimpinannya di bidang ilmu pengentahuan.

12. Bagi tujuan tersebut, dalam beberapa tempoh waktu akan datang, kita akan mengambil sedikit waktu untuk bermuhasabah bagi menilai pencapaian kita selama ini di dalam bidang kepimpinan ilmu pengentahuan kepada belia Islam di Malaysia. Kita akan melihat semua prestasi program-program yang telah dijalankan, institusi-institusi dan prasarana yang telah kita tubuhkan bagi tujuan tersebut seperti Taski, SRI,SMI dan Kolej, bahan-bahan penerbitan yang telah kita terbitkan dan cuba mencari idea-idea baru terhadap program-program keilmuan yang boleh kita ketengahkan kepada masyarakat belia Islam. Dalam hal ini, kita akan mengukuhkan fungsi Majlis Pendidikan Al-Hikmah yang telah ditubuhkan sebagai payung kepada seluruh program keilmuan dan kependidikan Abim pada masa akan datang. Sesungguhnya wibawa kita sebagai sebuah organisasi ilmu bukan sahaja bergantung kepada pelbagai program yang kita anjurkan, tetapi juga bergantung kepada kualiti pencapaian dan keberkesanannya.

13. Di dalam kepelbagaian program keilmuan yang telah kita terokai, saya ingin mencadangkan kepada kepimpinan Abim akan datang untuk kita menerokai bidang pendidikan lanjutan kepada para belia Islam. Kita boleh memulakan dengan program Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) untuk para belia Islam. Ini adalah sebahagian dari semangat program KAFA yang dianjurkan oleh pihak kementerian pendidikan dan Jakim kepada kanak-kanak diperingkat sekolah. Kita boleh bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan sebagai organisasi pelaksana bagi program KAFA di peringkat belia. InsyaAllah, perkara ini akan kita perhalusi nanti.

14. Perkara kedua yang telah saya sebutkan yang perlu kita usahakan didalam memastikan Abim dikenali sebagai pertubuhan yang sedang memimpin belia Islam ialah keperluan untuk kita memperluaskan ruang dan jaringan kerja kita kepada belia Islam. Bagi tujuan tersebut, saya ingin mencadangkan supaya Abim pada beberapa tempoh akan datang memberi tumpuan kepada mengukuhkan dan mempelbagaikan produk-produk perkhidmatannya kepada masyarakat dan belia Islam.

15. Sebagaimana yang telah kita tahu, Abim berpengalaman di dalam memimpin belia Islam menerusi pelbagai perkhidmatan yang disediakan kepada masyarakat. Di dalam bidang pendidikan terutamanya, kita merupakan antara organisasi awal yang telah menyediakan khidmat pendidikan yang berorentasikan Islam kepada masyarakat dan belia Islam. Di dalam aspek ini, kita telah memiliki dan menubuhkan produk seperti Taski dan Tahfiz Abim, Sekolah Rendah dan Menengah Islam (SRI dan SMI) Abim dan diperingkat tinggi, kita telah mengusahakan Kolej Dar al-Hikmah (KDH). Produk-produk perkhidmatan ini perlu kita perkukuhkan dan popularkan dari semasa ke semasa supaya setanding dengan institusi pendidikan yang diusahakan oleh pihak kerajaan dan swasta yang lain. Sehubungan dengan itu juga, barangkali sudah tiba masanya untuk kita memperhalusi dengan serius pada tempoh kepimpinan akan datang cadangan pada beberapa tahun lalu untuk kita mengusahakan penubuhan sebuah Universiti Abim. Idea ini agak besar, namun pada saya ia tidak mustahil bersandarkan kepada kapasiti atau keupayaan ahli-ahli yang kita miliki. InsyaAllah, saya akan mengambil berat terhadap usaha dan cadangan ini kerana sumbangan yang bakal diberikan oleh Universiti Abim kepada pembanguan belia Islam akan datang amat besar.

16. Abim juga merupakan antara pertubuhan yang kedepan didalam mengemukakan produk perkhidmatan perekonomian Islam. Kita telah menubuhkan Koperasi Belia Islam (KBI) yang kini masih utuh dan semakin berdaya maju. InsyaAllah, kita akan membantu pengurusan KBI di dalam mempopularkannya kepada generasi belia Islam terbanyak sebagai salah satu dari ruang kepimpinan Abim di bidang perkhidmatan.

17. Salah satu lagi produk perkhidmatan yang perlu kita mantapkan ialah di bidang penerbitan. Abim mempunyai beberapa rangkaian agensi yang menumpu di bidang ini. Pada masa akan datang, kita perlu menggiatkan kegiatan penerbitan buku-buku dan majalah yang bercorak keilmuan, kekelurgaan dan keislaman dengan harga yang berpatutan untuk bacaan para belia. Barangkali, apabila bidang ini dapat kita perkasakan nanti, Abim perlu mengambil perhatian serius juga di dalam penerbitan buku dan majalah untuk khalayak kanak-kanak, ibu-ibu dan bapa-bapa muda serta surirumah. Khalayak ini amat mustahak didekati kerana kepentingan mereka di dalam proses pembinaan generasi belia Islam yang kuat pada masa akan datang. Ini semua boleh kita lakukan samada menerusi penerbitan bahan-bahan baru atau karya-karya penterjemahan.

18. Antara bidang perkhidmatan Abim yang akan dijayakan semula ialah di bidang latihan. Kita dahulu mempunyai Pusat Latihan Abim (PLA) yang amat aktif di dalam menawarkan kursus-kursus yang bercorak kefahaman dan kemahiran kepada belia Islam. Namun, fungsinya sejak akhir-akhir ini agak pudar. Saya yakin, usaha pengukuhan dan penjenamaan semula PLA begitu mendesak sekali kerana tuntutan kepada kita memberi latihan secara tersusun kepada belia Islam. Barangkali kita boleh memperluaskan bidang kursus kita meliputi aspek pengurusan syarikat, pentadibiran teknologi maklumat dan keusahawanan di bidang pertanian.

19. Saya juga akan mencadangkan kepada kepimpinan Abim akan datang untuk bergiat didalam bidang perkhidmatan yang bercorak seni dan budaya. Antara aspek yang boleh kita terokai ialah dengan mengenalpasti dan melatih bakat-bakat dari kalangan belia Islam di dalam bidang persuratan Islam. Antara bidang perkhidmatan yang boleh kita sumbangkan ialah di dalam aspek penerbitan novel-novel remaja, penulisan lirik lagu, penyediaan skrip drama dan filem atau menaja penerbitan karya –karya nasyid dan teater yang bertemakan keislaman. Di dalam bidang ini juga, salah satu lagi bidang yang sedang menarik minat generasi belia Islam hari ini ialah di dalam seni tarannum atau memperdengarkan bacaan al-Quran secara berlagu. Barangkali, pada masa akan datang, kita boleh menjadi penggerak kepada pengajuran Majlis Tilawah al-AQuran di peringkat Belia Islam Malaysia.

20. Di dalam perbincangan tentang kepimpinan Abim menerusi bidang perkhidmatan ini, idea akhir yang saya ingin berkongsi dengan saudara dan saudari semua ialah untuk kita menyumbang perkhidmatan kita sebagai belia Islam di dalam usaha pengukuhan proses integrasi belia di peringkat nasional. Belia Islam sekarang sedang berada di era baru di mana batas-batas yang telah menjadi sempadan perhubungan antara generasi belia Malaysia semakin pudar dan tumpul. Perkembangan zaman yang kita namakan sebagai globalisasi dan factor kepesatan perkembangan teknologi maklumat menyebabkan generasi Malaysia tidak lagi terasing kehidupan mereka berasaskan batas-batas kaum dan agama. Perkembangan realiti ini jugalah yang telah menggerakkan pihak kementerian belia pada masa kini menggerakkan usaha pembinaan agenda apa yang di kenali sebagai program Satu Belia. Ini sejajar dengan slogan Satu Malaysia yang sedang di perkenalkan oleh pihak kerajaan.

21. Untuk itu, kita semua sebagai warga belia Islam hendaklah aktif terlibat didalam kegiatan yang bersifat pelbagai kaum. Malah kita perlu lebih proaktif mendekati belia-belia dari kalangan kaum-kaum pelbagai di negara kita. Saya yakin, sekiranya budaya dialog dari kalangan belia pelbagai kaum dijayakan, kita akan dapat menyumbang kepada usaha pengukuhan generasi Malaysia yang bertolak ansur atau bertasamuh antara satu dengan lain. Ini sudah tentu akan menyumbang kepada cita-cita kita didalam menyumbang kepada pembinaan negara Malaysia yang sejahtera pada masa akan.

22. Saya di peringkat Abim Pusat akan berbincang dengan rakan-rakan pimpinan untuk kita menganjurkan acara dan kegiatan yang boleh mengukuhkan ikatan hubungan sesama belia Malaysia. Barangkali kita boleh mencadangkan nanti satu penganjuran program yang bercorak perkhemahan belia yang disertai oleh wakil-wakil belia dari pelbagai kaum sebagai satu ruang permulaan untuk proses dialog dan perbincangan antara belia-belia Malaysia. Bidang ini secara khusus akan dikendalikan oleh Naib Presiden Kebangsaan Abim, Sdr Ahmad Saparudin Yusof.

23.Banyak lagi produk-produk perkhidmatan yang boleh kita sebutkan dan saya tidak ingin memanjangkan idea-idea spontan ini. Kesemua ini adalah sekadar petunjuk kepada kita semua sebagai pendokong pergerakan belia Islam untuk kita memikirkan di peringkat masing-masing. Saya yakin, sekiranya permuafakatan sesama kita dapat dijayakan, banyak lagi produk-produk perkhidmatan kepada belia Islam pada masa akan datang dapat kita perkenalkan.

24. Usaha bagi menjayakan cita-cita menjadikan Abim sebagai pertubuhan yang memimpin belia Islam Malaysia hendaklah bermula dari diri setiap warga atau pendokong Abim. Kita hendaklah mengukuhkan silaturrahim sesama kita. Marilah kita meningkatkan semangat ukhwah atau persaudaraan kita sebagai anggota pertubuhan dakwah belia. Kita semua hendaklah mengelakkan sebarang bentuk persengketaan sesama sendiri. Ini bagi memastikan supaya kualiti masa yang kita ada ditumpukan kepada usaha memikirkan langkah pengukuhan dan pemerkasaan Abim di bidang kepimpinan ilmu pengentahuan dan perkhidmatan.

25. Saya juga akan memberi tumpuan pada sesi akan datang di dalam pengukuhan organisasi Abim dari segi pentadbiran dan pengurusan. Antara cabaran utama dari sudut keorganisasian Abim pada masa akan datang ialah pengurusan ahli-ahli yang jumlahnya semakin hari semakin bertambah. Pengurusan ahli ini meliputi usaha latihan dalaman untuk ahli dan penyebaran maklumat yang tepat kepada para ahli. Bagi tujuan itu, akan mencadang kepada Setiausaha Agung Abim, Sdr Raimi Abdul Rahim untuk diwujudkan sistem pengurusan maklumat yang sistematik sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat pada masa kini. Saya juga akan mencadangan satu pusat khusus bagi pengurusan berita kepada para ahli. Apa juga berita yang seperti kegiatan dan program di peringkat daerah, negeri dan pusat seharusnya dihebahkan kepada pengentahuan ahli dan masyarakat terbanyak secara berterusan.

26. Saya juga akan memberi perhatian kepada program pembangunan belia Islam dalam konteks pembinaan generasi pelapis Abim. Program re-generasi Abim yang pernah dijayakan sebelum ini wajar dikembangkan semula dengan beberapa perubahan dari segi penjenamaan, tumpuan dan pengisian. Perkara ini secara khusus akan diletakkan di bawah bidang kerja Timbalan Presiden Abim, Sdr Amidi Abdul Manan.

27. Di samping itu juga ialah keperluan kita mengukuhkan sumber kewangan Abim. Bagi tujuan ini, program Infaq Saya sebanyak RM25 seorang akan terus dikembangkan. Saya yakin, Sdr Aizan Tukirin, Setiausaha Kewangan Abim akan mencadangkan beberapa lagi produk-produk kewangan baru ke arah pengukuhan dana Abim.

28. Saudara Fadlina Sidiq akan dipertanggungjawabkan untuk mengemukakan cadangan kearah pengukuhan perkhidmatan Abim kepada beliawanis negara secara lebih khusus. Barangkali program rumah perlindungan wanita dan khidmat guaman syariah untuk wanita boleh ditawarkan.

29. Manakala Saudara Khairul Faiz akan memperkasakan kehadiran Abim di peringkat antarabangsa. Di samping meneruskan dan memperluaskan jaringan dengan pertubuhan belia Islam di peringkat antarabangsa, beliau akan bertanggungjawab di dalam memantu kegiatan bantuan kemanusian Abim kepada masyarakat yang dilanda krisis kemanusiaan.

30. Akhirnya, saya ingin mengucapkan penghargaan dan tahniah kepada saudara-saudari atas luang masa yand diberikan bagi menghadiri seminar dan sidang muktamar Abim pada kali ini. Saya mendoakan supaya keikhlasan kita semua didalam cita-cita menjayakan cita-cita Abim akan menjadi sumbangan amal jariah yang tidak ternilai kepada kita semua dihari perhitungan kelak. Saya dan rakan-rakan mendoakan agar perjalanan saudara semua ke negeri masing-masing akan selamat. Ibarat pepatatah, “biar lambat, asal selamat”, saya nasihatkan kepada yang memandu, memandulah dengan cermat.

31. Semoga kita berjumpa nanti di Muktamar akan datang. Saya ingin mengajak semua sidang muktamirin agar sama-sama bertakbir dengan saya sebagai tanda pengakhiran sidang muktamar ke 38 pada tahun ini. Allahu Akhbar, Allahu Akbar, Allahu Akhbar.

Wassalamualaikum warahmatullah.

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More