"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

1.8.09

Majlis Perundingan Belia Negeri Bahaskan Isu Tenaga Kerja

KUANTAN, 1 Ogos 2009 -- Bertempat di Hotel Vistana Kuantan, YDP ABIM Pahang telah menghadiri Majlis Perundingan Belia Negeri Pahang Sidang Ketiga Penggal Kesembilan Tahun 2009. MPBNegeri yang bertindak sebagai badan perunding dalam hal yang berhubung dengan pembangunan belia di negeri Pahang ini telah dihadiri oleh wakil-wakil pertubuhan belia, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai belia negeri dan daerah. Majlis ini telah dirasmikan seterusnya dipengerusikan oleh YB. Dato' Haji Wan Adnan bin Wan Mamat selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Pahang.

Di dalam ucap utama yang disampaikannya, YB. Dato' Haji Wan Adnan telah mengutarakan persoalan sejauh manakah usaha yang telah dilakukan untuk melibatkan belia-belia dalam pertubuhan belia. Dalam masa yang sama sejauh manakah pula usaha yang dilakukan oleh pertubuhan belia digerakkan untuk menjaga kepentingan belia dan negara. Seterusnya beliau menyentuh mengenai 'Sistem Star Rating' atau penggredan persatun untuk mengukur tahap keaktifan sesebuah pertubuhan belia. Selanjutnya, beliau menjelaskan bahawa sebanyak RM606 000.00 telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk memperkasakan persatuan belia sehingga bulan Mac 2009. Manakala sejumlah RM232 000.00 pula telah disalurkan untuk tujuan yang sama dalam peruntukan fasa kedua.

Majlis Perundingan diteruskan dengan pembentangan khas bertajuk "Senario Pasaran Tenaga Kerja Semasa" yang telah disampaikan oleh Encik Sazali bin Keteh, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Pahang. Menurut beliau, pada tahun 2009 ini seramai 304 823 orang telah mendaftar sebagai pencari kerja. Tetapi kekosongan jawatan yang direkodkan hanyalah sebanyak 138 883 sahaja. Daripada jumlah keseluruhan pendaftar, sebanyak 132 292 adalah graduan manakala 172 531 merupakan pencari kerja bukan graduan. Beliau seterusnya menjelaskan 3 faktor utama yang menjejaskan peluang graduan mendapat pekerjaan ialah disebabkan oleh pengalaman kerja, lemah penguasaan Bahasa Inggeris dan silap memilih bidang pengajian. Beliau kemudiannya merumuskan 3 igauan kepada graduan sebelum mereka memasuki pasaran kerja iaitu 'Self Apprearance', 'Self Communication' dan 'Self Confidence'.

Dalam sesi perbahasan, YDP ABIM Pahang telah melahirkan rasa kebimbangan terhadap figur dan statistik pencari kerja di negeri Pahang pada masa kini. Kesan yang sangat signifikan akan dirasai oleh pertubuhan-pertubuhan belia secara langsung. Ini disebabkan oleh graduan-graduan atau golongan belia akan hanya sibuk memikirkan untuk mencari kerja bagi mendapat pendapatan dan menampung kehidupan seharian. Justeru, kecenderungan mereka untuk menyertai pertubuhan belia dengan segala macam aktivitinya akan terbatas. Untuk mengatasi masalah ini, YDP ABIM Pahang mencadangkan supaya ruang seluas-luasnya dibuka kepada pertubuhan-pertubuhan belia untuk masuk ke kampus-kampus dan menganjurkan program-program dengan mahasiswa. Program-program berbentuk latihan dan pembangunan adalah sangat relevan untuk menambah nilai kepada mahasiswa seterusnya mempertingkat kemahiran insaniah mereka.

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More