"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

22.6.09

UMNO–Pas Perlu Berunding

Artikel diambil dari akhbar Mingguan Malaysia 21 Jun 2009


MUQADDIMAH

ISU kerajaan perpaduan kini semakin mendapat perhatian, malah isu tersebut juga seolah-olah menampakkan berlaku perbalahan yang serius dalam Pas.

Bagaimanapun Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), YUSRI MOHAMAD dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, menegaskan, usaha berkenaan harus diteruskan demi kebaikan orang Melayu dan umat Islam.

Menurut Yusri, beliau berpendapat demikian kerana ABIM sejak dulu lagi sentiasa konsisten dan berpendirian bahawa semua parti utama Melayu perlu bekerjasama serapat mungkin. Namun begitu, beliau berpendapat usaha mewujudkan kerjasama atau kerajaan perpaduan tersebut perlu dilakukan oleh semua pihak yang terlibat dan bukannya datang daripada satu pihak sahaja.

Apa pun Yusri mengingatkan bahawa, ‘‘Jika jurang antara parti Melayu Islam terlalu besar, itu menunjukkan satu mesej bahawa kekuatan politik kita semakin lemah. Keadaan tersebut akan mendorong pihak-pihak lain untuk mengambil kesempatan.’’

MINGGUAN: Pada pandangan saudara apakah kepentingannya mewujudkan kerajaan perpaduan ini?

YUSRI: Yang pertamanya kita perlu pastikan dahulu apa maknanya kerajaan perpaduan yang sedang hangat dibincangkan. Bagi ABIM sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan Islam, kami konsisten dari dahulu bahawa hubungan antara parti-parti politik utama yang mewakili suara dan aspirasi Melayu Islam harus baik dan serapat mungkin. Itu pendirian kami sebagai pertubuhan dakwah. Kita melihat potensi untuk bertindak mewakili umat Islam ada pada parti-parti ini dan tidak terbatas kepada hanya satu parti. Bagi kami apa sahaja usaha yang bernada ke arah yang lebih baik seperti perpaduan sangat dialu-alukan. Merujuk kepada kerajaan perpaduan biasanya yang kita faham ialah satu bentuk kerajaan yang bergabung antara parti-parti politik yang melangkaui batas-batas persaingan politik yang biasa atau lazim.

Perkara sebegini pernah berlaku di negara-negara lain dan di Malaysia pada awal penubuhan Barisan Nasional (BN) dahulu apabila Pas turut menyertainya. Dan kini dalam realiti dan landskap politik yang telah berubah selepas pilihan raya lalu kami mengalu-alukan tindakan ini dan ia merupakan satu usaha yang baik. Namun usaha begini harus berlaku secara natural dan bukan dipaksa-paksa, ia memerlukan keberanian tetapi pada masa yang sama ia tidak akan terhasil secara automatik.

Ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh, kesediaan untuk berkorban dan memerlukan kerjasama kedua-dua pihak. Tidak boleh satu pihak menunggu dan tiada usaha positif dijalankan untuk menjayakannya. Oleh itu bersandarkan pada keadaan dan realiti politik semasa, ada keperluan untuk parti-parti utama yang mewakili umat Islam merapatkan hubungan. Jika kedua-dua parti ini bergabung, Alhamdulillah ia merupakan sesuatu yang amat kita alu-alukan.

MINGGUAN :Pada masa ini terdapat usaha menidakkan hak orang Melayu seperti yang telah tertulis dalam perlembagaan. Apakah pandangan saudara mengenai perkara ini?

YUSRI: Jika kita lihat kepada isu ini ia merupakan isu politik dan pastinya ada sifir dan kaedahnya sendiri. Apa yang paling penting ialah kuat dan lemahnya sesuatu parti. Jika jurang antara parti Melayu Islam itu terlalu besar ia menunjukkan satu mesej bahawa kekuatan politik kita semakin lemah. Keadaan tersebut akan mendorong pihak-pihak lain mengambil kesempatan dan kita tidak boleh lari daripada hakikat ini kerana itulah sifir politik. Saya ambil satu isu iaitu biasiswa. Seperti yang dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah baru-baru ini, ia telah diperjelaskan dalam perlembagaan, sebahagian daripada Perkara 153, bagaimanapun tiba-tiba kita dengar ada suara-suara sumbang mempertikaikan hal ini atas nama meritokrasi.

Hak-hak istimewa dalam perlembagaan itu merupakan satu pengecualian dari kaedah umum seperti kesamarataan. Prinsip itu diasaskan atas prinsip yang kukuh seperti sejarah dan realiti iaitu Melayu Islam di negara ini merupakan majoriti. Bantahan seumpama itu sangat jarang kita dengar berlaku tetapi sekarang ia adalah antara perkara yang terjadi akibat hilangnya kekuatan politik orang Melayu Islam berikutan perpecahan yang berlaku antara mereka. Ini satu contoh di mana kewibawaan politik Melayu itu sudah lemah atau tercabar.

Maka dalam kelompongan itu akan ada tindakan sebegini namun untuk kita berasa terlalu marah pun tidak boleh kerana itu realiti berpolitik. Ia adalah suasana politik yang berlaku sekarang, justeru parti-parti politik Melayu Islam perlu melihat apa keutamaan yang harus diberikan demi kepentingan bangsa dan negara. Kita perlu berpijak di bumi nyata bahawa negara ini ada bangsa terasnya ialah Melayu Islam.

Jika mereka ini tidak berada dalam keadaan yang baik, ia akan mengganggu kesejahteraan negara secara keseluruhannya. Itu hakikatnya jika kita bercakap tentang negara ini. Kewibawaan Melayu Islam baik dalam BN mahupun pakatan pembangkang bagi saya ia tidak benar-benar kuat dan kukuh. Jadi kita berharap kalaupun bukan dalam bentuk penggabungan sekurang-kurangnya jurang ini harus lebih serasi dan selari. Contohnya mengenai UMNO dan Pas, walaupun masih bersaing dalam politik demokrasi tetapi mereka harus boleh bersetuju dan mempunyai sikap serta pendirian bersama dalam persoalan asas. Pendirian berkenaan harus disampaikan dengan jelas kepada kaum-kaum lain.

Dalam erti kata lain, mereka masih bersaing dari segi politiknya tetapi perlulah sihat dan sepakat tentang perkara-perkara teras seperti isu Melayu dan agama Islam. Bagaimanapun janganlah hanya sepakat dalam diam tetapi perlu konsisten dalam menghantar mesej kepada rakan-rakan kita dari kaum lain. Jika kita berterusan dilihat lemah, mungkin akan ada orang yang kurang bersabar atau terlupa diri dengan menggunakan peluang itu untuk merubah persefahaman yang terjalin, walaupun ia tidak sihat untuk pembinaan negara bangsa.

MINGGUAN : Dalam Pas telah berlaku pergolakan antara mereka yang bersetuju dan yang tidak bersetuju tentang kerajaan perpaduan. Jadi bagaimanakah saudara melihat perkara ini?

YUSRI: Saya secara peribadi melihat proses ini masih di peringkat awal, masih belum pasti apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kerajaan perpaduan dan setakat ini tiada sebarang perbincangan di antara Pas dan UMNO dijalankan. Bagi saya kita harus bagi ruang untuk proses ini digerakkan. Kami merasakan apa saja yang membawa kebaikan perlu diberikan peluang dan sentiasa berpendapat sejak dahulu lagi sebelum pakatan pembangkang wujud, hubungan antara UMNO dan Pas harus lebih baik dan bukan terlalu tajam.

Dalam konteks memperbaiki kerjasama politik, ia harus diberi sedikit ruang, soal perbezaan pandangan dalam mana-mana parti politik, ia bukanlah sesuatu perkara yang baru dan luar biasa.

Oleh itu kami meletakkan kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin Pas untuk menangani perbezaan pandangan ini dengan sebaik mungkin.

MINGGUAN : Mungkinkah ABIM melihat penubuhan kerajaan perpaduan sebagai satu keperluan sekarang?

YUSRI: Sekali lagi kita perlu melihat apa yang dimaksudkan dengan kerajaan perpaduan itu. Jika yang dimaksudkan ialah hubungan dan kerjasama yang lebih baik maka kami melihat ia adalah wajar dan perlu walaupun masih terdapat parti-parti lain. Tetapi saya kira rentak dan lagunya harus ditetapkan oleh parti-parti utama Melayu Islam ini. Barulah saya lihat suasana itu lebih sihat kerana ia lebih reflektif kepada realiti masyarakat kita.

Jika tidak ia akan menggambarkan satu keadaan yang tidak sihat kerana terlalu banyak suara minoriti dan sentimen pinggiran menjadi lantang dan diberi ruang yang terlalu luas kerana sentimen majoriti itu tidak sekata. Ini sesuatu yang tidak sihat.

Namun saya harapkan biarlah perkara ini berlaku dalam proses semula jadi dan bukan dipaksa. Ia tetap memerlukan satu usaha yang alang-kepalang. Dan saya kira tidak ada salahnya untuk kita mengambil kira pandangan parti-parti lain kerana di negara ini realiti politiknya kita memerlukan kerjasama dari parti kaum lain.

Bagi saya kerangka kerjasama itu harus jelas dan mengambil kira suara Melayu Islam yang kuat. Jika tidak ia akan menggugat kesejahteraan dan kestabilan negara.

MINGGUAN : Tetapi rakan-rakan Pas di dalam pakatan pembangkang mempersoalkan tindakan ini.

YUSRI: Dari segi hubungan antara parti di dalam pakatan pembangkang kita boleh katakan ia agak unik. Namun kita tidak boleh menyamakannya seperti gabungan dalam BN. Pada masa sekarang Pas dilihat terlalu dihalang oleh rakan-rakan mereka dalam pakatan untuk berbincang dengan UMNO. Jika berlaku perbincangan pun tidak akan ada satu keputusan serta-merta.

Saya berpendapat Pas masih boleh berbincang dan turut sama mengambil kira pandangan rakan-rakan mereka. Ini bukanlah satu situasi yang sangat genting. Tidak sepatutnya pemimpin Pas terlalu dipersalahkan atau terlalu berdosa dalam soal ini.

Sejak dahulu kami merasakan bahawa persaingan antara UMNO dan Pas terlalu tajam sampai ada cubaan kafir-mengkafir di pihak Pas dan di pihak UMNO pula agak keras menggunakan undang-undang terhadap pemimpin Pas. Saya melihat perkara sebegini sebagai sesuatu yang tidak sihat. Maka adalah elok jika kita masuk ke era baru, sama ada bergabung atau tidak itu soal lain tapi sekurang-kurangnya perlu wujud satu komunikasi lebih baik.

Proses ini pastinya akan membantu dari segi mewujudkan kematangan berpolitik antara dua parti teras Melayu Islam itu. Hakikatnya Pas sekarang telah menjadi satu parti politik yang kuat berbanding sebelum ini. malah dalam sejarah Pas, mereka tidak pernah menjadi sekuat ini.

Oleh itu Pas tidak perlu berasa takut dan bimbang untuk berbincang kerana Pas bukan berada dalam situasi di mana mereka terpaksa bertindak atau membuat keputusan. Pas kini mempunyai sokongan yang sangat kuat daripada orang Melayu serta orang bukan Melayu.

Kita perlu memberi lebih kepercayaan kepada Pas untuk bergerak dan meneroka ruang-ruang demi kebaikan bersama. Oleh itu Pas perlu yakin dan berani kerana mereka kini muncul sebagai sebuah parti yang kuat.

Pas tidak perlu terlalu bimbang tentang pandangan pihak lain dan mereka sendiri harus lebih lantang bukan sahaja dalam pakatan pembangkang tetapi juga dalam membuka ruang politik baru yang lebih matang dan sihat dalam arena politik tanah air.

MINGGUAN : Apakah kerajaan perpaduan ini mampu dilaksanakan atau ia tidak lebih sebagai satu retorik politik sahaja?

YUSRI: Saya rasa ia tidak mustahil. Ia boleh dilaksanakan tetapi bukan mudah namun boleh dilakukan. Seperti yang saya sebutkan perlu ada kesediaan, keberanian dan wujud proses komunikasi yang lebih terbuka. Ia perlu tidak terlalu tertutup dan juga terlalu terbuka. Ini kerana akan ada kelompok walaupun perkara ini baik tetapi atas niat tertentu tidak mahu perkara ini dijayakan.

Mereka tidak mahu hubungan politik antara orang Melayu Islam ini lebih baik dan tersusun. Memang ada orang yang mahu melihat pertentangan dan jurang yang terlalu luas antara kita.

Kita sudah terbiasa dengan konsep pemerintahan pecah dan perintah dan cuba menjarakkan sejauh mungkin hubungan antara kaum. Kalaupun cadangan ini tidak sampai ke peringkat penggabungan tetapi jika ia mampu merapatkan hubungan, itu sudah cukup baik.

Jika tidak kita akan terus hanyut dengan suasana politik yang memabukkan. Tidak ada mana-mana parti politik yang maksum dan dalam Islam sendiri pun ada kaedah serta panduan mencegah pertentangan politik yang melampau.

MINGGUAN : Mungkinkah ABIM boleh memainkan peranan dalam menjayakan kerajaan perpaduan ini?

YUSRI: Secara fitrahnya antara dua orang yang ingin berkawan, kadang-kadang ada orang tengah membantu tetapi ada juga yang akhirnya tidak membantu malah mengusutkan lagi keadaan.

Jika proses ini berjalan dengan baik tanpa bantuan orang tengah adalah lebih baik diteruskan sahaja, tetapi ia mungkin juga perlu dalam menyelesaikan sesuatu kekusutan.

Bagi saya adalah lebih baik kita serahkan kepada pihak-pihak berkaitan. Peranan orang tengah boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja yang bersesuaian yang dirasakan perlu, ia termasuklah NGO Islam.

Mungkin suara dan pandangan pihak kami mampu membantu melihat di dalam kekusutan. Ia kerana kadang-kadang kita boleh ibaratkan parti politik berada dalam gelanggang yang sangat berkecamuk sehingga mereka tidak boleh melihat dengan jelas apa yang sepatutnya dilakukan. Mungkin kita yang melihat dari luar ini ada perspektif yang boleh diambil kira. Oleh itu perkara ini dilihat saling lengkap melengkapi.

Bagi saya jika kami diminta oleh pihak terlibat untuk memainkan peranan maka kami akan turun padang, tetapi ia adalah hak sepenuhnya pihak-pihak yang terlibat. Namun secara peribadi, Pas dan UMNO merupakan sebuah parti politik yang besar dan tidak perlu campur tangan orang ketiga dan mereka boleh bertemu serta berbincang tanpa perlu melibatkan pihak ketiga. Tetapi jika diminta, barulah kami akan turun membantu.

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More