"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

22.5.09

Sifat Sabar Dan Kepentingannya Dalam Diri Pejuang

Oleh : Sdr. Amidi bin Abdul Manan

Apabila kita memperkatakan tentang perjuangan, satu unsur yang sering dikaitkan adalah dugaan. Malah ada yang menyimpulkan tiada perjuangan tanpa dugaan. Kesimpulan ini memang benar kerana pejuang khususnya pejuang agama Allah memang tidak pernah sunyi dari cubaan. Ini ditegaskan dalam Al-Quran apabila Allah memberi kenyataan bahawa dakwaan tentang keimanan akan disusuli dengan dugaan dan cabaran.

Nabi Muhammad s.a.w sendiri pun menyatakan golongan yang paling banyak diuji adalah golongan para Rasul. Justeru amat penting bagi seorang pejuang memahami apakah yang dimaksudkan sebagai sifat sabar itu.

Menurut Ibnu Qayyim dalam Al-Quran, perkataan sabar disebut lebih daripada 90 tempat. Ia memberi isyarat bahawa kita perlu unutk memahami sifat sabar dengan kefahaman yang mendalam. Ada juga ulama seperti Al-Ghazali menyatakan bahawa kalimah sabar disebut sebanyak 70 kali dalam Al-Quran. Jika sabar bukan merupakan salah satu sifat utama nescaya ia tidak diulang-ulang sedemikian rupa banyaknya.

Menurut Imam Al-Ghazali pula sabar merupakan ciri khusus insaniah. Hanya manusia diiktiraf dan dituntut untuk mengamalkan sifat sabar. Sabar tidak terpamer pada haiwan, tumbuhan mahu pun malaikat. Malaikat yang tidak bernafsu tidak dapat memahami nilai kesabaran yang ada pada manusia.

Manakala Rasulullah pula menekankan bahawa kesabaran itu sebahagian daripada iman. Pernyataan ini memberi kesan bahawa tanpa kesabaran kita telah kehilangan iman, atau dengan lain perkataan iman hanya dapat disempurnakan dengan kesabaran.

Dalam menghuraikan sifat sabar ini, saya ingin menarik perhatian terhadap bahagian-bahagian sabar seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali. Beliau membahagikan sabar terbahagi kepada dua. Bahagian sabar yang pertama adalah sabar zahir yang meliputi ketahanan jasmani dalam menghadapi kesakitan dan keperitan. Begitu juga dengan ketahanan badan dalam menyesuaikan diri ketika berhadapan dengan persekitaran.

Bahagian sabar yang kedua adalah sabar batin. Imam Al-Ghazali seterusnya memperincikan lagi apa yang dimaksudkan sebagai sabar batin. Berikut adalah senarai jenis-jenis sabar batin :

. Sabar dengan perut dan syahwat (dikenali sebagai i’ffah)
. Menahan diri dari perkara makruh – wara’
. Sabar dengan musibah. Musibah adalah keadaan yang disebut sebagai الجزع والهلع (resah gelisah). Tahan diri dari meraung, merintih dan mengeluh.
. Sabar dengan kemegahan terhadap kekayaan (batar).
. Teguh dalam peperangan dinamakan keberanian.
. Sabar dalam menahan marah (الحلم)-hilm.
. Sabar dalam penantian masa (berlapang dada)
. Sabar atau menahan diri dalam menyembunyikan rahsia
. Sabar dalam perkara yang berlebihan dalam hidup (zuhud)
. Sabar dalam perkara yang sedikit daripada keuntungan (qana’ah)

Sememangnya sifat sabar amat luas dan penting. Hanya orang yang mempunyai sifat sabar yang tinggi sahaja layak digelar sebagai seorang pejuang, dan kesabaran yang tinggi hanya akan diperolehi dengan dugaan yang berbentuk kesusahan mahu pun kesenangan.

Kesabaran adalah kekuatan. Orang yang sabar adalah orang yang mempunyai kekuatan. Maka orang yang lemah adalah orang yang tidak mempunyai kesabaran. Selain dari itu kesabaran bakal mengundang kegembiraan di akhirat kelak. Berbahagialah orang-orang yang sabar sebagaimana yang terungkap dalam Surah al-Ra’du:

(23) sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;
(24) (sambil mengucapkan): "Salamun 'alaikum bima shabartum"[772]. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.

o [772] artinya: keselamatan atasmu berkat kesabaranmu

Dalam ayat diatas menyatakan bahawa keistimewaan orang-orang yang sabar yang bakal menerima ucapan salam daripada para Malaikat dan memasuki syurga dari mana-mana pintu yang disukainya.

Allah juga menyatakan bahawa orang-orang yang sabar ini selain dari mendapat balasan syurga mereka juga akan memperolehi pakaian yang diperbuat daripada sutera seperti yang tertera dalam surah al-Insan:

(12) Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera,

Begitu besar ganjaran bagi orang yang sabar. Maka tidak hairanlah jika beberapa orang ulama terkemuka menyebut tentang keutamaan sabar. Antaranya Abu Talib Al-Makkiy dalam kitabnya Kutub al-Qalb:“Ketahuilah bahawa sabar itu adalah sebab masuknya seseorang ke dalam syurga, dan menjadi (sebab) terlepasnya seseorang dari neraka” Tulis beliau lagi “Ketahuilah kebanyakan maksiat hamba itu berlaku pada dua perkara: Sedikit sabar terhadap apa yang digemari (sukai) dan sedikit sabar di atas perkara yang dibenci”.

Bagi membina sebuah jiwa perjuangan yang kental kita seharusnya sentiasa berdoa agar kita memperoleh kesabaran yang sebenarnya. Selain dari itu kita perlu untuk mengikhlaskan niat, niat yang suci dan tulus hanya kepada Allah s.w.t sahaja yang mampu menghadirkan sabar. Kita seharusnya berwaspada dengan segala bisikan dan ajakan syaitan yang berusaha untuk meruntuhkan dinding kesabaran kita.

Jangan kita tertipu dengan kegigihan dan kesungguhan dimedan juang seperti mana yang disindir oleh Allah kepada tentera Uhud dengan:

(142) Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad[232] diantaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.

Mudah-mudahan ia menjadi renungan kita bersama. Agar kita memperoleh hidayah dengan kecekalan dan kesabaran menempuh onak dan duri perjuangan.

Disediakan Oleh :
Sdr. Amidi bin Abdul Manan
YDP ABIM Pahang

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More