"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

25.5.09

Kembara Amal Mendekatkan ABIM Pahang Dengan Masyarakat

PADANG TENGKU, 24 Mei 2009 - Tidak ada yang dapat digambarkan oleh setiap peserta program melainkan perasaan kepuasan sepanjang 3 hari dan 2 malam berkembara amal. Kepuasan kerana berpeluang untuk mendekati masyarakat serta memberikan khidmat bakti yang akan kekal terpahat dalam memori ingatan. Sinergi berkesan di antara ABIM Pahang dengan Jabatan Belia dan Sukan Pahang serta komitmen penyertaan daripada Kelab Motor Pahang dan Majlis Perwakilan Pelajar UIAM Kampus Pahang telah menjadikan Kembara Amal Generasi Bebas Jenayah sebagai satu realiti.

Program yang bermula pada 22 Mei ini telah disertai seramai 70 orang belia. Sesi pelepasan peserta bermula pada jam 3.00 petang di Dataran UIAM Kampus Pahang dan telah disempurnakan oleh YDP ABIM Pahang, Sdr. Amidi bin Abdul Manan. Sebanyak 14 buah kereta telah digunakan dalam kembara ini. Destinasi yang pertama ialah Felda Siantan Jengka 19 di mana peserta telah singgah di Masjid Jamek. Aktiviti gotong royong mengecat dan mengindahkankan kawasan masjid telah berjaya disempurnakan dengan seliaan Jawatankuasa Masjid tersebut serta penyelarasan bersama ahli IKATAN Daerah Maran.

Kembara diteruskan lagi ke Kampung Rumpun Makmur dan telah tiba pada jam 5.30 petang. Sambutan yang sangat meriah telah diberikan oleh penduduk Kampung Rumpun Makmur dengan perarakan bunga manggar serta paluan kompang. Sesi penerangan dan ramah mesra terus diadakan di Dewan Puspa Rumpun Makmur. Pada sebelah malamnya, aktiviti persembahan kebudayaan telah diadakan. Pelbagai persembahan telah dibuat oleh penduduk kampung. Para peserta kembara juga tidak ketinggalan menunjukkan bakat dalam persembahan.

Kembara Amal melabuhkan tirai hari pertamanya dengan bermalam di Homestay Kampung Rumpun Makmur.

Aktiviti khidmat masyarakat diteruskan pada pagi Sabtu 23 Mei 2009. Peserta kembara wanita telah membantu kaum ibu Rumpun Makmur untuk menyediakan bahan-bahan masakan makan tengahari manakala peserta kembara lelaki telah menyumbangkan tenaga untuk mengecat dan mengindahkan persekitaran masjid kampung tersebut.

Lebih kurang jam 10.00 pagi kehadiran 'bikers' daripada Kelab Motor Pahang dengan menunggang sebanyak 33 buah motorsikal berkuasa besar telah menggamatkan lagi suasana di Rumpun Makmur. Sekali lagi kemesraan terlihat di wajah setiap penduduk kampung yang menyambut kehadiran bikers. Sesi pagi tersebut adalah lawatan ke Hutan Lipur Gunung Senyum yang berada tidak jauh dari Kampung Rumpun Makmur.

Seolah-olah sudah lama berkenalan, kanak-kanak serta remaja Rumpun Makmur tidak melepaskan peluang membonceng motorsikal berkuasa besar untuk mennuju ke destinasi. Di kaki Gunung Senyum, para peserta kembara mengambil peluang untuk menyaksikan keindahan ciptaan Allah yang kaya dengan flora dan fauna. Mereka juga mengambil kesempatan untuk merakam gambar-gambar pemandangan yang menarik untuk dijadikan kenang-kenangan.

Selepas selesai makan tengahari, kembara disambung ke destinasi seterusnya. Kemesraan penduduk kampung Rumpun Makmur seperti berat hendak ditinggalkan.Namun, destinasi Kampung Dong, Raub harus segera dituju. Laluan Jengka 8, Jerantut, Benta dan Dong telah dipilih. Pemandangan indah kampung tradisional melayu menjadi tatapan sepanjang perjalanan.

Tepat jam 4.00 petang, para peserta kembara telah sampai ke destinasi seterusnya iaitu Kompleks Rakan Muda Dong, Raub. Selepas selesai menikmati jamuan petang, semua peserta telah menuju ke Kampung Pasir Bayam, Dong untuk aktiviti seterusnya. Dengan kerjasama Sdr. Zamani daripada Persatuan Belia Kampung Pasir Bayam, semua peserta dibawa ke rumah salah seorang penduduk kampung tersebut yang dikenali sebagai Pakcik Baya. Pakcik Baya yang tinggal seorang diri kelihatan gembira dengan kedatangan peserta kembara ke rumahnya. Aktiviti gotong-royong terus dilakukan oleh peserta kembara dengan membersihkan persekitaran serta dalam rumah Pakcik Baya.

Dalam masa yang sama, sumbangan katil, bantal, beras, gula, biskut, minyak masak dan lain-lain keperluan dapur turut disampaikan oleh ABIM Pahang. Rumah Pakcik Baya yang sebelum ini kelihatan tidak terurus telah bertukar wajah menjadi bersih, kemas dan selesa selepas aktiviti gotong-royong ini. Sumbangan wang tunai juga telah diberikan kepada Pakcik Baya selepas kutipan kilat dilakukan oleh bikers sebelum peserta kembara beredar pada jam 6.00petang.

Seterusnya, Pusat Rekreasi Lata Jarum pula menjadi sasaran peserta kembara. Kejernihan dan kesejukan air terjun telah menarik perhatian peserta kembara yang tidak melepaskan peluang untuk mandi bagi melepaskan penat lelah.

Program di sebelah malam diteruskan dengan Ceramah Agama di Masjid Dong Jaya yang terletak berdekatan dengan Kompleks Rakan Muda Dong, Raub. Ceramah bertajuk 'Peranan Belia Membina Masyarakat Islam' telah disampaikan oleh Ustaz Saadan dari S.K. Bandar Raub yang juga ahli ABIM Daerah Raub. Selepas solat Isyak, peserta kembara telah dijamu dengan makan malam bersama-sama jemaah masjid. Para peserta kembara juga mengambil peluang untuk beramah mesra dengan penduduk setempat semasa makan malam. Sesi malam pula diisi dengan majlis ramah mesra sesama 3 kumpulan peserta iaitu ABIM Pahang, Kelab Motor Pahang dan MPP UIAM Pahang.

Keheningan malam dan suara unggas-unggas ciptaan Allah menghiasai malam kedua kembara di Kompleks Rakan Muda Dong, Raub.

Kembara Amal Generasi Bebas Jenayah hari ketiga diteruskan ke Padang Tengku, Kuala Lipis. Destinasi terkahir ini adalah lokasi Sambutan Hari Belia Negara 2009 Peringkat Negeri Pahang diadakan. Bikers daripada Kelab Motor Pahang telah diberi penghormatan untuk mengiringi Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Y.B. Dato' Haji Wan Adnan bin Wan Mamat yang merupakan tetamu terhormat pada program tersebut.

Para peserta Kembara Amal Generasi Bebas Jenayah telah pulang ke Kuantan selepas program Hari Belia Negri Pahang selesai.

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More