"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

20.5.09

Dasar Pembangunan Pelajar IPT Tepat Pada Masanya

Oleh : Sdr. Amidi bin Abdul Manan

Pengumuman oleh YB Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah mengenai satu dasar perlu dibentuk bagi Bahagian Hal Ehwal Pelajar di pusat-pusat pengajian tinngi seperti yang dilaporkan oleh akhbar ini pada 11 Mei 2009 adalah bertepatan dengan masanya. Ia amat selari dengan saranan YAB Perdana Menteri tentang pengurusan negara yang perlu memberi perhatian terhadap prestasi dan keperluan rakyat amat ditekankan sekarang.

Seseorang yang memasuki peringkat tertiari pendidikan negara sebenarnya telah diiktiraf menguasai aspek-aspek yang diperlukan pada peringkat sekunder. Pada peringkat pertama pendidikan negara, ia memfokuskan kepada kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira. Juga ditekankan maklumat pada peringkat pengetahuan dalam beberapa mata pelajaran. Justeru individu yang menamatkan pendidikan peringkat primer ini diiktiraf sebagai telah pun mempunyai kemahiran asas yang diperlukan bagi mengharungi pendidikan peringkat sekunder.

Peringkat sekunder dalam pendidikan negara adalah satu peringkat yang amat kompleks. Kompleks dari sudut pelajarnya, dan juga kompleks dari sudut bahan dan sukatannya. Ketika ini pelajar melintasi zon remaja dalam garis kehidupan. Sebagaimana yang kita maklumi, zon ini adalah zon yang amat kritikal dan rencam. Pelajar terpaksa berhadapan dengan perubahan yang mendadak dari sudut psikologi dan biologi. Pembentukkan identiti dicanai dan diacu ketika remaja. Maka tidak hairanlah dalam kerumitan ini ramai remaja yang tersasar dari arah kehidupan yang sewajarnya.

Peringkat tertiari adalah peringkat membentuk kematangan diri. Segala ilmu pengetahuan yang diperolehi seharusnya dapat digunakan dalam membina jati diri dan sikap yang betul apabila berhadapan dengan cabaran dan masalah yang mendatang. Pada peringkat ini pelajar atau lebih dikenali sebagai mahasiswa berada pada tahap akhir pembentukan diri, yakni sebelum mereka diberikan tanggungjawab secara profesional dalam bidang-bidang yang berkaitan.

Oleh yang demikian, dasar yang bakal digubal nanti mestilah mampu memperkasa keutuhan peribadi mahasiswa. Rata-rata mahasiswa merungut mereka tidak dilayan seperti yang sepatutnya oleh pihak wewenang iaitu HEP sesebuah IPT.

Mahasiswa pada tahap ini sedang belajar bagaimana hendak menjalankan tanggung jawab seperti mana golongan dewasa. Tetapi dalam masa yang sama mereka mempunyai pengalaman yang amat cetek dalam hal-ehwal urus kendali sesuatu perkara. Sebagai seorang mahasiswa mereka juga mempunyai citarasa dan ‘self esteem’ yang tinggi. Maka disinilah memerlukan kebijaksanaan pegawai bahagian HEP dalam melaksanakan tugas pendidikan secara tidak formal kepada mahasiswa. Mahasiswa yang berada depan mata pegawai HEP merupakan mereka yang terpilih dan terkehadapan dalam arus pendidikan negara. Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh para pegawai di HEP.

Perkara-perkara yang perlu diambil kira dalam menggubal dasar tersebut antaranya, adalah pengukuhan jati diri generasi muda, akhlak dan disiplin mahasiswa, penyegaran idealisme generasi muda dan pemantapan ilmu dikalangan mahasiswa.

Generasi muda termasuklah golongan mahasiswa merupakan generasi yang akan memasuki masyarakat (in-coming generation). Generasi yang kaya dan sarat dengan nilai-nilai yang ideal. Maka setiap gerakan mahasiswa seharusnya berpaksikan kepada keluhuran nilai-nilai yang mulia. Jangan biarkan walau sedikit pun ruang untuk gerakan mahasiswa beralih paksi kepada paksi politik kelompok atau kepartian melulu apatah lagi jika kepentingan materialistik mengambil tempat. Jika perkara ini terjadi masa depan umat atau masyarakat akan berada dalam kemusnahan.

Mahasiswa juga dilabel sebagai agen perubah masyarakat. Perubahan yang dibawa oleh mahasiswa mestilah dilandasi oleh nilai-nilai yang kukuh. Mahasiswa mesti mampu menjadi penganalisa sosial yang berkaliber. Maka satu ruang yang luas mesti diberikan kepada mahasiswa untuk meneroka, memahami dan menghayati segenap getar nadi masyarakat dari pelbagai sudut. Jangan lorongkan pandangan mahasiswa hanya pada satu lorong seperti masyarakat diluar kampus. Mahasiswa mesti melihat segala gelodak masyarakat dari perspektif helikopter (helicopter view), agar nanti mampu diisih perkara-perkara teras dan cabangan dalam merangka agenda bertindak. Sekatan yang keterlaluan akan menghalang mereka memahami realiti masyarakat. Maka akan tercetaklah pemikiran yang homogenus. Jika perkara ini berlaku negara akan ketandusan pemikir dan kemandulan intelektual.

Mahasiswa juga dilabel sebagai jurubicara masyarakat. Keberanian mereka dalam mengungkapkan masalah masyarakat merupakan pra-syarat dalam proses pembaikan masyarakat. Kita akui bahawa kadangkala terdapat suara yang aneh dan kelihatan janggal. Teguran perlu diberikan tanpa mematikan ketulusan mereka dalam mengenengahkah apa yang difikirkan betul oleh mereka.

Justeru itu bagi melahirkan generasi mahasiswa yang berkualiti kita memerlukan kelompok pegawai HEP yang berjiwa besar dan mempunyai rekod dalam gerakan mahasiswa.

Jati diri mahasiswa mestilah terbina dengan baik. Seseorang yang dipersiapkan untuk masa depan seharusnya tidak tercabut akar kehidupannya daripada latar sejarah dan budaya setempat. Jati diri bukan bermakna kita terhimbau dengan kenangan silam sehingga leka dengan persediaan melengkapkan diri dengan sebarang bentuk kemahiran dan pengetahuan bagi berhadapan dengan cabaran yang mendatang.

Jatidiri mahasiswa seharusnya terbina dari satu bentuk pemerhatian dan analisa tentang kekuatan generasi terdahulu berhadapan dengan dugaan dan cabaran. Dalam masa yang sama kelompok mahasiswa juga hendaklah dipupuk supaya sentiasa berwaspada dengan kelemahan diri yang bakal terjelma tanpa diduga.

Pemerhatian seharusnya bertitik tolak dengan memahami erti kehidupan. Pandangan sarwa yang tuntas tentang kehidupan mampu menangkis segala kepungan fahaman yang membinasakan. Mahasiswa yang kental jatidiri adalah mahasiswa yang sentiasa berpegang teguh dengan prinsip-prinsip yang mulia sepanjang kehidupannya. Mereka berbangga dengan warisan persekitaran dan jujur dalam mempertahankan warisan bangsanya.

Tegasnya jati diri mahasiswa bukanlah satu perasaan atau emosi yang melulu terhadap budaya dan adat yang diwarisi. Tetapi perkara yang lebih penting adalah nilai yang mengangkat martabat bangsa itu sendiri. Tidak ada gunanya kita menangisi kehilangan pemilikan atau hak terhadap tanah air, sedangkan kita sendiri tidak mampu mempertahankan nilai yang membina kedaulatan sesuatu bangsa.

Perkara yang selanjutnya yang harus diberikan perhatian dalam penggubalan dasar tersebut adalah pemupukan akhlak dan disiplin mahasiswa. Akhlak dijelmakan disemua sudut kehidupan. Akhlak meliputi hubungan sesama manusia, akhlak dengan Tuhan dan akhlak dengan alam sekitar.

Akhlak juga meliputi kefahaman terhadap hak. Hak-hak kemanusiaan. Seorang manusia perlu dihormati dan menghormati. Hak asasi manusia, hak terhadap alam sekitar dan yang paling penting adalah hak Pencipta terhadap makhluknya. Justeru dengan akhlak yang benar dan mulia barulah kehidupan manusia itu akan sentiasa berada dalam harmoni. Tanpa penghayatan dan pengamalan akhlak yang sebegini rupa maka kita hanya akan melahirkan berpuluh ribu zionis dalam setahun.

Akhlak mesti digandingkan dengan disiplin. Disiplin mampu membentuk daya saing yang mantap. Satu-satu organisasi hanya akan mencapai objektif penubuhannya berbekalkan disiplin yang tinggi. Maka dengan dianggotai oleh para intelektual muda seharusnya pembentukan disiplin, bukanlah satu masalah yang besar. Pemupukan disiplin organisasi yang baik adalah satu proses pengayaan kepada mahasiswa.

Para mahasiswa bukan sahaja dilatih untuk mempunyai disiplin yang tinggi. Mereka seharusnya mampu mengenali dan membentuk disiplin yang perlu dipraktikkan. Apabila kemahiran ini dapat dibina maka akan lahirlah generasi yang mampu memberikan khidmat yang terbaik buat Malaysia. Perkara ini telah diungkapkan dalam ucapan sulung Perdana Menteri kita. Setiap modus operandi mempunyai disiplin yang tersendiri, maka amat janggal rasanya apabila mahasiswa tidak mampu menakrif peranan dan fungsi setiap juzuk dalam sebuah organisasi.

Penyegaran idealisme bermaksud mahasiswa mampu menyaring setiap fahaman yang datang yang bertujuan menghakis nilai dan tatasusila masyarakat. Ideal bermaksud sesuatu perlu berada pada tahap dan piawai yang telah digariskan oleh agama. Jika kita berbicara persoalan politik, maka idealisme politik adalah bertepatan dengan garis panduan yang telah ditetapkan agama. Politik bukan politik yang ditunggangi oleh kebuasan nafsu. Begitu juga jika topik ekonomi diketengahkan. Ekonomi yang ideal adalah ekonomi yang mementingkan manusia dan kemanusiaan bukan diterajui oleh pertumbuhan semata-mata. Begitu juga jika kita berbincang mengenai mengenai bidang kemasyarakatan seperti pendidikan dan budaya maka secara tuntasnya ia mestilah berada dalam dakapan idealisme perjuangan yang tulen.

Proses penyegaran idealisme boleh berlaku dalam berbagai-bagai bentuk. Boleh jadi ia berbentuk perbincangan ilmiah atau separa ilmiah, perdebatan, banding beza sosial seperti wacana antara bangsa, turun ke lapangan dan mungkin juga berbentuk lakonan. Menerusi aktiviti sebegini nanti mahasiswa akan memerah otak dan mengerah tenaga bagi mempertahankan idelisme perjuangannya.

Penyegaran idealisme tidak akan lengkap jika aktiviti keilmuan atau budaya ilmu tidak turut digiatkan. Budaya ilmu seharusnya menjadi teras dalam pembinaan generasi mahasiswa. Jika bukan dikemuncak pusat pengajian tinggi budaya ilmu diamalkan, dimanakah lagi selayaknya untuk masyarakat memulakan budaya tersebut?

Budaya ilmu seharusnya mengandungi rantaian tindakan yang berupa pemikiran, nilai, amalan dan rangka kerja yang berteraskan ilmu. Mungkin tempoh 3 hingga 6 tahun di pusat pengajian tinggi amat singkat untuk memahami dan mengamalkan dengan sebenar-benarnya budaya ilmu, namun benih kesedaran perlu disemai bagi melahirkan generasi Mahasiswa Malaysia yang perkasa.

Oleh itu sebagai kesimpulan dinyatakan sekali lagi bahawa dasar tersebut seharusnya menekankan bahagian HEP di IPT perlu berganding bahu bersama mahasiswa dalam membentuk dan membina mahasiswa yang mempunyai jati diri yang utuh, akhlak dan disiplin yang terpuji, idealisme perjuangan yang tulus dan murni dan mampu mengamalkan budaya ilmu dalam mengharungi kehidupan.

SDR. AMIDI BIN HAJI ABDUL MANAN
YDP ABIM PAHANG

Mantan Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) 97-99

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More