"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

7.4.09

Kursus Pemandu Pelancong Masjid, Buka Lembaran Baru Dakwah

KUANTAN, 6 April 2009 - Atas rasa kesedaran dan keperluan, ABIM Pahang dengan kerjasama Islamic Outreach ABIM (IOA) Pusat, Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Sekretariat Dakwah Islamiah Pahang telah menganjurkan Kursus Pemandu Pelancong Masjid buat julung-julung kalinya.

Kursus ini telah diadakan pada 4 dan 5 April 2009 yang lalu bertempat di Dewan Seminar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan. Program ini bertujuan untuk mendedahkan peserta dengan konsep seorang da'ie, menimbulkan kesedaran mengenai kepentingan dakwah melalui pelancongan masjid, menyampaikan Islam kepada tetamu ALlah SWT secara berhikmah serta memahami tanggungjawab dan kegiatan kesukarelaan.


Dengan disertai seramai 60 orang peserta, program ini dilihat berjaya membuka pintu ke arah kegiatan dakwah yang lebih luas kepada komuniti bukan Islam khususnya pelancong-pelancong luar negara. Peserta-peserta terdiri daripada Imam-Imam Masjid Daerah-Daerah di Pahang, Penyelaras Masjid dan Surau di Pejabat Agama Islam Daerah-Daerah, Kakitangan Pejabat Masjid Negeri, Guru-Guru KAFA Masjid Negeri, individu-individu sukarela serta wakil-wakil NGO Islam di bawah Sekretariat Dakwah Islamiah Pahang.

Perasmian pembukaan telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Mohd. Ghazali bin Abdul Aziz yang merupakan Timbalan Pengarah JAIP. Pengisian program telah dibahagikan kepada 3 jenis iaitu ceramah-teori, bengkel dan sesi praktikal dakwah.

Dalam sesi Forum, Ustaz Sharafuddin Aisa (Imam Besar Masjid Negeri) telah menjelaskan mengenai kedudukan orang bukan Islam yang memasuki masjid. Manakala Sdr. Amidi Abdul Manan (YDP ABIM Pahang) pula menghuraikan peranan NGO dan kegiatan kesukarelaan dalam menyebarkan mesej dakwah kepada bukan Islam. Seterusnya, Sdr. Abdul Latip Pozan (sukarelawan IOA) dan Sdr. Hafiz Kelvin (petugas IOA) pula berkongsi pengalaman dan cabaran yang dialami sebagai sukarelawan pemandu pelancong di Masjid Negara dan Masjid Putrajaya.

Ceramah diteruskan dengan pembentangan yang dibuat oleh Ustaz Md. Ali bin Sarbini (Imam Masjid Negara) mengenai Konsep Dakwah Melalui Pelancongan Masjid. Menurut beliau dalam sehari tidak kurang 500 orang pelancong yang melawat Masjid Negara. Sepanjang tahun 2008, seramai 221 546 orang pelancong telah melawat masjid yang sama. Dr. Lili Yulyadi (Pusat Pengajian Asia Tenggara UM) pula meneruskan ceramah dengan menekankan aspek profesionalisme dalam memastikan kejayaan program pemandu pelancong ini.

Kursus hari pertama diakhiri dengan sesi bengkel bagi melatih peserta supaya mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai konsep dakwah melalui pemandu pelancong ini selain pendedahan terhadap jenis-jenis soalan yang biasanya ditanyakan oleh pelancong samada berbentuk informatif atau provokatif.

Hari kedua kursus dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti praktikal dakwah. Pembentangan telah disampaikan oleh Pn. Normah Sulaiman (Naib Pengerusi IOA) mengenai Laluan Berpandu dan Aspek Informasi manakala Sdr. Abdul Latip Pozan membuat taklimat mengenai cara untuk menyampaikan mesej mengenai masjid kepada pelancong dari segi senibina, sejarah dan kemudahan. Beliau seterusnya memimpin sesi praktikal dakwah selepas itu.

Sesi praktikal menjadi lebih 'hidup' kerana tanpa disangka-sangka satu rombongan pelancong telah tiba di Masjid Negeri. Para peserta kursus telah melihat sendiri bagaimana Sdr. Abdul Latip mengendalikan pelancong daripada mula sehingga pelancong tersebut meninggalkan masjid. Tidak kurang juga terdapat peserta yang mengambil peluang untuk mencuba bakat mereka sebagai pemandu pelancong semasa sesi praktikal ini.

Pada sebelah petang, Prof. Dr. Syed Nur Azman Syed Mustafa (Sukarelawan IOA) telah membuat pembentangan mengenai Pengucapan Awam Yang Berkesan. Beliau telah menekankan mengenai kepentingan pengaliran maklumat yang berkesan supaya pelancong-pelancong berasa selesa sepanjang sesi lawatan mereka di masjid.

Kursus ini ditutup dengan rasminya oleh Imam Besar Masjid Negeri. Majlis Penutup turut dihadiri oleh Tn. Hj. Ahmad Raffli bin Ab. Malek yang merupakan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid, JAIP.

Perbincangan lanjut akan diadakan di antara pihak ABIM Pahang bersama-sama dengan pihak Masjid Negeri supaya gerak kerja pemandu pelancong di Masjid Negeri akan dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan berkesan. Kerjasama-kerjasama daripada agensi kerajaan yang berkaitan juga akan diusahakan bagi menjayakan lagi usaha ini.

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More