"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

29.7.08

Kuliah Tafsir Maudhui'y ke 54 : "Kuasa - Antara Kurnia dan Pesona, Antara Amanah dan Fitnah"

Oleh : Prof. Dato' Dr. Siddiq Fadzil


Surah al-Dukhan: 25 - 33

Pengajian siri yang baru lalu mengangkat isu pesona harta yang juga menjadi tema besar surah al-Zukhruf, kata yang membawa makna kemewahan duniawi yang bergemerlap dengan segala aneka perhiasan indah dan aksesori megah. Selain menyerlahkan hakikat rendah dan murahnya nilai kekayaan duniawi di sisi Ilahi, surah tersebut juga memberikan contoh historis, jelmaan nyata dalam rupa perilaku Fir`aun, watak paling tepat mewakili manusia yang lupa diri akibat pesona harta dan kuasa sehingga menjadikannya ukuran mutlak martabat keinsanan, lalu memperlekeh manusia yang dimuliakan Allah dengan martabat kenabian dan kerasulan iaitu Sayyidina Musa (`a.s.).

Perilaku dan gelagat bongkak Fir`aun disorot lagi dalam surah al-Dukhan. Bagaimanapun perbicangan siri ini akan lebih menumpu pada sunnatu ‘Llah, hukum sejarah tentang kesudahan nasib manusia yang menjadi “gila” dan merajalela akibat pesona kuasa. Dalam kaitan ini Fir`aun dan mereka yang sebulu dengannya masih dirujuk sebagai contoh penguasa zalim yang menggunakan wewenang untuk bertindak sewenang-wenang. Setelah keleluasaan mereka sampai ke puncaknya termasuk pembunuhan massal terhadap kanak-kanak lelaki Bani Isra’il, Tuhan memusnahkan mereka dalam bencana yang cukup tragik - terperangkap di tengah laut. Kali ini mereka tersalah baca, laut terbelah disangka untuk laluan semua. Rupa-rupanya hanya untuk kaum mustad`afin (Bani Isra’il), tidak untuk mereka. Bagi Bani Isra’il ia adalah rahmat pertolongan Tuhan, tetapi bagi Fir`aun dan para pendukungnya ia adalah perangkap maut. Demikianlah, apabila tiba saat Tuhan melaksanakan kehendak-Nya tidak ada yang dapat menghalang. Manusia secerdas mana dan sepintar mana pun, dalam masa kurang satu saat dapat membuat keputusan yang salah atau melakukan kesilapan strategik yang membawa kemusnahan dan kehancuran total. Dengan mendadak dan dengan cara yang begitu dramatik tamatlah riwayat penguasa perkasa yang tidak pernah terfikir akan seburuk itu nasib mereka. Kuasa yang selama ini dipergunakan untuk mempertahankan kepentingan mereka dan mengawal segala kemewahan dan kekayaan yang mereka bolot tidak mempunyai erti apa-apa lagi. Segalanya musnah, yang tinggal adalah kekayaan dan kemewahan yang memang tidak dapat mereka bawa:

Banyak sungguh kebun-kebun dan mata air mereka tinggalkan (25). Dan juga pelbagai jenis tanaman serta tempat-tempat kediaman yang indah -- mulia (26). Dan juga kemewahan hidup yang mereka sekian lama menikmatinya (27). Demikianlah keadaannya (hukum Kami ke atas orang-orang yang derhaka); dan Kami jadikan semua peninggalan Fir`aun dan orang-orangnya milik kaum yang lain (kaum Bani Isra’il) (28). Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi. (29). Dan demi sesungguhnya Kami telah selamatkan kaum Bani Isra’il dari azab yang menghina. (30) Dari tindasan Fir`aun, sesungguhnya ia adalah seorang yang sombong takbur lagi terbilang dari orang-orang yang melampaui batas (dalam keganasan dan kekejamannya) (31). Dan demi sesungguhnya Kami telah memilih mereka dengan berdasarkan pengetahuan (Kami) -- menjadi lebih pangkatnya dari penduduk dunia (pada zaman itu) (32). Dan Kami berikan kepada mereka (melalui Nabi Musa) berbagai tanda yang mengandungi ujian nyata (33) Al-Dukhan:25-33.


Demikianlah berakhirnya sebuah rejim pemerintahan kejam yang mengamalkan dasar might is right dan law of the ruler. Mereka meninggalkan legacy pemerintahan yang dicemari pelbagai catatan hitam termasuk jenayah pembunuhan massal, fitnah, pencabulan maruah, pemerkosaan hak asasi manusia dan gerakan dehumanisasi. Nama Fir`aun abadi dalam sejarah sebagai simbol dan icon pemerintahan teror dan brutal. Menghilangnya penjenayah seperti Fir’aun dari pentas dunia, tidak dirasakan oleh siapa pun sebagai suatu kehilangan: langit tidak menangisinya kerana selama ini tidak pernah ada amal kebaikan Fir`aun yang terangkat ke langit; bumi juga tidak meratapinya kerana selama ini Fir`aun tidak pernah sujud di mana-mana dataran bumi. Memang tidak siapa pun yang membela Fir`aun sebagai unsung hero atau pahlawan yang tidak didendang. Ketika berkuasa mereka disanjung, dijulang dan diagungkan oleh para pengikut dan pendukung yang bodoh atau yang berkepentingan; tetapi ketika pergi (menghilang dari pentas dunia) warga alam memandang sepi. Mereka mati seperti matinya seekor semut. Begitulah kerdil dan hinanya mereka di mata dunia. Memang tepat kehinaan nasib mereka itu disebut beriringan dengan kisah keleluasaan mereka menghina kaum dhu`afa’ Bani Isra’il. Demikianlah keadilan Ilahi: memang padan bagi mereka yang hidup menghina, mati terhina. Sekuat-kuat kuasa manusia yang selama berkuasa mampu menutup pekung di dada, mampu memadam catatan hitam, mampu memalsu dokumen kejahatan dan mampu membina imej palsu, akhirnya harus tunduk kepada hukum sejarah (sunnatu ‘Llah) yang nanti akan menyerlahkan hakikat, membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah.

Selama berkuasa golongan elit politik tersebut mengambil kesempatan mengaut kekayaan, menyikat harta rakyat dan membolot khazanah negara sebanyak-banyaknya. Dengan demikian mereka menjadi kelompok elit dengan gaya hidup eksklusif yang mewah, rakus dan boros. Pembangunan yang mereka laksanakan bukan untuk rakyat, tetapi untuk diri mereka sendiri, segalanya hanya buat mereka, untuk rakyat cukup hanya yang tersisa. Namun akhirnya, hak rakyat kembali juga kepada rakyat. Itulah yang terjadi kepada harta kekayaan tinggalan Fir`aun dan suku sakatnya. Selama hidup dan berkuasa mereka sangat bangga dengan kekayaan yang mereka miliki. Mereka bermegah-megah dengan mahligai indah, kenderaan mewah dan aset berlimpah. Tiba-tiba, tak semena-mena segalanya itu dicabut dan mereka terlempar dalam kehinaan.

Setelah mereka dimusnahkan Tuhan tampilkan kaum lain yang layak mengambil alih tempat mereka sebagai penguasa. Dalam konteks ayat al-Dukhan tersebut penguasa paling perkasa (Fir`aun) digantikan oleh kaum yang dahulu paling lemah (Bani Isra’il). Demikianlah apabila Allah menghendaki tidak ada yang mustahil, termasuk hal-hal yang di luar perkiraan manusia biasa. Mungkin itulah yang namanya ayyami ‘Llah (hari-hari Allah) iaitu ketika Allah memperlihatkan kekuasaan-Nya secara nyata dalam bentuk suatu keajaiban yang mencengangkan. Siapa yang dapat menduga bahawa keperkasaan Fir`aun dengan segala kekuatan jentera pemerintahan dan bala tentera pertahanannnya boleh musnah sekelip mata, dan siapa pula yang dapat menduga kaum mustad`afin (Bani Isra’il) yang telah sekian lama dilumpuhkan, ditindas, dihina dan diperbodoh itu tiba-tiba muncul sebagai kekuatan pengganti di tempat lain?.

Umat yang diangkat sebagai pengganti tidak pula harus berasa sebagai umat istimewa yang selamanya akan menikmati status umat terpilih. Mereka diangkat atas asas bahawa mereka -- dengan segala kekuatan dan kelemahan mereka -- adalah yang paling layak di kalangan umat zaman mereka. Kesempatan yang diberikan tidak mengecualikan mereka daripada persyaratan selama mereka masih memiliki kelayakan. Apabila nanti mereka mengkhianati amanah kekuasaan, mereka juga akan musnah dan digantikan pula dengan umat yang lain.

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendidikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar, dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. Al-Hajj:41

Sesunggguhnya kekuasaan adalah amanah dan ujian. Al-Qur’an mengingatkan mereka yang diberikan kurnia tamkin (mereka yang diperkukuh dengan kuasa) harus sentiasa dan selamanya setia melaksanakan solah, zakah, amar ma`ruf dan nahi munkar. Solah adalah induk segala amal pengabdian terhadap Tuhan Yang Maha Esa. Ia disebut dalam konteks pesan Tuhan kepada para penguasa agar sentiasa memelihara hubungannya dengan Allah: memohon petunjuk dan kekuatan dari-Nya, mencari keredhaan dan pengampunan-Nya dengan sentiasa mengingati suruhan dan larangan-Nya. Demikianlah penguasa Muslim yang harus bersifat God conscious, memiliki kesedaran yang tinggi tentang Tuhan: kehadiran-Nya, perintah dan larangan-Nya, kasih dan murka-Nya, dosa dan pahala-Nya. Setelah itu diikuti dengan perintah membayar zakat, suatu kewajipan shara` yang mengandungi hikmah pembersihan harta agar sentiasa bersih dan halal di samping mengandungi hikmah pemurnian hati daripada sifat bakhil, tamak dan mementingkan diri. Andainya para penguasa Muslim menghayati semangat zakat mereka akan terhindar daripada perlakuan curang: rasuah, penipuan, penggelapan wang negara dan harta rakyat. Seterusnya diperintahkan pula agar melaksanakan amar makruf dan nahi munkar. Dengan kata lain, apa pun dasar yang digubal dan apa pun projek yang dilaksanakan, segalanya harus didasari nilai-nilai kemakrufan dan harus bersih daripada unsur-unsur kemunkaran dan kefasadan.

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More