"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

12.4.08

11 NGO Islam Pahang Gesa Boikot Barangan Belanda


KUANTAN 10 April - Sebanyak 11 badan bukan kerajaan (NGO) Islam Pahang yang mengutuk keras penerbitan filem pendek Fitna, menggesa umat Islam di negeri ini khasnya memboikot 40 barangan Belanda yang berada di pasaran.

Presiden Badan Nadwah Islamiah Pahang (Nadwah), Badrul Huzaini Mohd. Yusof berkata, NGO-NGO yang terlibat ialah Nadwah, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Pahang, Jamaah Islah Malaysia (JIM) Pahang, Majlis Kebajikan India Muslim Pahang (MKIMP) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Pahang.


Turut terlibat, katanya, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, Yayasan Amal Malaysia Pahang, Ikatan Pengkajian Islam Pahang (Ikatan), Wadah Pencerdasan Ummat (Wadah) Pahang, Puteri Islam Pahang dan Pertubuhan Kemajuan Islam Malaysia (Perkim).

''Kami lihat ini adalah satu langkah terbaik yang perlu diambil, kita tidak perlu tunggu lebih lama lagi untuk memboikot barangan Belanda, ia akan berkuat kuasa hari ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Fitna yang disiarkan di Internet pada 27 Mac lalu, mengkritik dan menghina agama Islam dengan menunjukkan surah al-Quran dan berlatar belakangkan imej pengganas.

Penerbit filem itu ialah ahli majlis perundangan Belanda, Geert Wilders.

Filem itu juga menunjukkan kenyataan daripada paderi yang radikal dan menyebut surah al-Quran dengan menyelitkan imej serangan 11 September terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) New York.

Penyiaran filem itu sendiri telah mengundang kemarahan umat Islam di seluruh dunia selain kecaman daripada masyarakat antarabangsa.

Badrul Huzaini berkata, langkah memboikot itu akan dilaksanakan di sekitar bandar Kuantan sebelum diperluaskan ke seluruh negeri dalam masa tiga hari ini, melalui pengedaran risalah ke pusat-pusat membeli belah dan pasar raya.

Sambil menyifatkan tindakan Wilders sebagai satu usaha untuk menyuburkan fahaman 'Islamiphobia' ke seluruh dunia, beliau berkata, Fitna turut merosakkan kefahaman penganut agama lain terhadap Islam.

''Melabelkan Islam dengan elemen keganasan adalah tidak benar sama sekali, sebaliknya Islam ialah agama keamanan yang menerapkan nilai murni serta hubungan baik dengan penganut agama lain," katanya.

Jelas beliau, pemahaman Wilders yang salah terhadap ayat Al-Quran bukan sahaja menyedihkan umat Islam di seluruh dunia malah ia juga menggambarkan salah tanggapan dan kesempitan berfikir ahli majlis perundangan Belanda itu.

''Selain memboikot barangan Belanda, kami juga menggesa kerajaan Belanda supaya mengambil tindakan tegas ke atas Wilders," katanya.

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More