"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

19.10.07

Ibadah di ISS Cerminan Ulul Albab

Nota : Artikel ini telah tersiar dalam ruangan Surat & Emel Berita Harian pada 19 Oktober 2007 dengan sedikit pengubahsuaian.

Apabila ditanya oleh YAB Perdana Menteri bagaimana kegiatan ibadah khususnya solat dan puasa dilaksanakan di Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS), Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dengan penuh keyakinan menjawab; “Islam is the Way of Life….” dan menjelaskan bahawa dia boleh menunaikan ibadah sebagai seorang Muslim dengan sempurna. Lebih mengharukan, semenjak angkasawan itu berada di bumi lagi sebelum berlepas, berulang kali dia menyatakan komitmennya untuk menunaikan ibadah dengan sempurna di angkasa lepas khususnya solat dan puasa.

Kita sepatutnya mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah berjaya mengeluarkan Buku Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah di Stesyen Angkasa Antarabangsa (ISS). Apatah lagi, buku ini dalam format e-buku boleh dimuat turun daripada laman web rasmi JAKIM. Panduan beribadah di angkasa lepas yang dihasilkan ini digunakan sepenuhnya oleh Dr. Sheikh Muszaphar bagi menunaikan ibadah dan melaksanakan tuntutan beragama semasa berada di ISS.

Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Mustafa bin Abdul Rahman dalam Kata Pengantar buku tersebut menegaskan bahawa ibadah merupakan suatu ketetapan ke atas setiap orang Islam yang merentasi keadaan, masa dan tempat. Justeru, perbezaan keadaan di bumi dan ISS bukanlah menjadi penghalang kepada angkasawan Muslim untuk menunaikan tanggung jawab yang sudah diwajibkan. Buku Panduan ini juga merupakan hasil daripada perbincangan dan pembentangan kertas kerja yang telah dilakukan di dalam Seminar Islam dan Kehidupan di Angkasa Lepas. Seminar ini telah dianjurkan oleh Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan JAKIM sendiri pada bulan April 2006 lepas.

Ada beberapa pengamatan menarik yang perlu diberikan perhatian mengenai kegiatan ibadah yang disempurnakan oleh Dr. Sheikh di ISS. Dr. Sheikh yang dalam lingkungan usia belia telah menampilkan jati diri seorang Muslim yang teguh. Baginya, soal ibadah dan amalan beragama tidak boleh dikompromi kerana ianya sudah menjadi kewajipan dan difardhukan ke atas umat Islam yang mukallaf. Kesedaran tinggi untuk mengutamakan hidup beragama seharusnya diberikan pujian yang tinggi. Kesungguhan beliau untuk komited dengan tuntutan fardhu ain wajar dijadikan tauladan dan motivasi kepada belia-belia Islam yang lain, walaupun beliau sedia maklum kesulitan yang akan dihadapi untuk menunaikan ibadah di ISS seperti ruang terhad, air untuk bersuci dan graviti sifar yang mungkin mengganggu kosentrasi dalam beribadah.

Dalam konteks ini, kita akan lebih menyedari bahawa tuntutan fardhu ain mestilah diberikan keutamaan tertinggi dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita juga sedia maklum, Islam memberikan kelonggaran dan keringanan atau disebut ‘rukhsah’ dalam beribadat kepada penganutnya yang menghadapi kesulitan. Ibadah solat umpamanya boleh ditunaikan dalam keadaan duduk, baring atau dengan isyarat mata jika kesihatan tidak mengizinkan. Malah, musafir juga diberikan keringanan untuk menghimpunkan (jamak) dan memendekkan (qasar) solat fardhu jika menghadapi kesulitan dalam perjalanan jauh. Begitu juga ibadah puasa yang diberikan kelonggaran untuk berbuka puasa kepada orang yang sakit atau bermusafir sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat ke 184 Surah Al-Baqarah. Justeru, tidak ada alasan yang boleh diberikan oleh umat Islam untuk tidak menunaikan amal ibadah. Janganlah disebabkan terlalu mementingkan urusan kerjaya dan aktiviti seharian, maka ibadah fardhu dikompromikan sedemikian rupa.

Sepekara lagi yang menarik perhatian ialah jawapan balas Dr. Sheikh apabila diajukan soalan mengenai perasaan beliau apabila melihat bumi daripada angkasa lepas, beliau dengan pantas menyebutkan bahawa dirinya amat merasai kebesaran dan kekuasaan Allah SWT serta menginsafi kekerdilan dirinya sebagai hamba. Beliau menambah bahawa apabila melihat ciptaan Allah daripada angkasa lepas menjadikan dirinya sangat hampir dengan Allah dan menguatkan lagi keimanannya kepada tuhan yang maha esa. Inilah jati diri Muslim sejati yang menjadi manifestasi generasi Ulul Albab sebagaimana yang dihuraikan dalam Surah Ali-Imraan ayat ke 190 dan 191. Sesungguhnya, tatkala kita memerhatikan kejadian di langit dan di bumi, sudah tentulah kita akan memikirkan kekuasaan Penciptanya. Dengan ini, menjadikan kita lebih hampir dan tunduk kepada Allah SWT.

Pengalaman memerhatikan kejadian alam mungkin berbeza di antara kita di bumi berbanding dengan Dr. Sheikh di angkasa lepas. Namun jurang itu dapat dirapatkan apabila kekuatan fikir dan zikir kita gunakan. Memikirkan kejadian alam dari aspek manafaatnya kepada kehidupan seluruhnya dan proses penciptaan serta perubahannya akan menerbitkan zikir-zikir membesarkan Allah SWT. Inilah yang seharusnya diterapkan dalam jiwa umat Islam. Dr. Sheikh memberikan pengalaman berfikir dan berzikir terhadap kejadian alam dalam pengalaman yang berbeza.

Selain itu juga, panduan ibadah di angkasa lepas ini dihasilkan menerusi seminar dan penyelidikan yang mendalam pakar cerdik pandai dunia pengajian Islam. Perkara ini meneruskan tradisi keilmuwan di kalangan cendekiawan dan pencinta ilmu di negara kita. Seharusnyalah wacana seumpama ini dipertahankan bagi memberikan penyelesaian kepada permasalahan umat Islam dalam menangani kehidupan mereka sehari-hari. Budaya ilmu yang dipertahankan ini akan meningkatkan kapasiti intelektual di kalangan umat Islam. Dengan ini, martabat dan kedudukan umat Islam akan meningkat tinggi lantas mengundang penghormatan daripada pelbagai pihak.

Kita akan terus menanti kepulangan Dr. Sheikh Muszaphar daripada ISS ke bumi. Sebagaimana yang dijanjikannya, beliau akan menunjukkan rakaman bagaimana ibadah solat boleh ditunaikan di angkasa lepas. Sesungguhnya, penerokaan umat Islam ke angkasa lepas telah berjaya membuktikan bahawa agama ini adalah agama yang membawa rahmat ke serata alam.


Disediakan oleh :
Muhammad Hisyamudin bin Hj. Baharudin
Setiausaha ABIM Pahang 2007/08

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More