"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salam (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALlah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka : orang-orang yang fasik"
(Surah Ali-Imran, 3:10)

:: Ahlan wa Sahlan :: Selamat Datang :: Welcome :: ke Laman Blog ABIM Pahang ::.......

6.5.08

ABIM Pahang Sokong Saranan Tengku Mahkota Pahang Supaya Penguatkuasaan Terhadap Gejala Murtad dan Sosial Ditingkatkan

Kenyataan Media ABIM Pahang

5 Mei 2008


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Pahang menyokong saranan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menambahkan kakitangannya bagi membendung gejala murtad dan masalah sosial di negeri ini. Saranan ini dilihat sebagai tepat pada masanya bagi menghadapi cabaran gejala murtad dan masalah sosial yang berlaku di negeri Pahang ini.

Dalam masa yang sama, baginda bertitah supaya bilangan pusat-pusat hiburan yang boleh menggalakkan peningkatan masalah sosial dikurangkan bagi membendung penularan masalah ini. ABIM Pahang juga tertarik dengan kenyataan Pengarah JAIP, Datuk Abdul Manan Abdul Manan yang melaporkan mengenai gejala murtad di negeri ini masih terkawal . Pada hemat ABIM Pahang, walaupun gejala ini masih terkawal, tetapi ianya masih terus berlaku dan langkah-langkah penyelesaian perlu diambil segera oleh pihak berkuasa.

Pada pandangan ABIM Pahang, gejala murtad dan masalah sosial yang berlaku pada masa kini boleh diatasi melalui tiga pendekatan. Pertama ialah melalui penguatkuasaan oleh pihak berkuasa yang berwajib, kedua melalui kewujudan suasana dan iklim sosial yang kondusif ke arah kehidupan bermasyarakat yang bebas gejala murtad dan masalah sosial, dan yang ketiga melalui kesedaran dan keazaman yang tinggi di kalangan masyarakat untuk menangkis masalah ini daripada berlaku.

Sesuailah dengan saranan Tengku Mahkota Pahang supaya JAIP menambahkan kakitangannya bagi meningkatkan penguatkuasaan, ABIM Pahang juga menggesa supaya JAIP memanfaatkan tenaga-tenaga muda lepasan universiti yang masih mengganggur bagi diserapkan sebagai kakitangan. Tenaga-tenaga lepasan universiti ini sudah tentu bersedia untuk menerima tanggungjawab sebegini tanpa mengambil kira taraf kontrak atau tetap. Tenaga-tenaga baru ini bolehlah diserapkan di semua peringkat samada di jabatan sendiri mahupun di pejabat-pejabat agama daerah-daerah yang pada masa kini mengalami kekurangan tenaga penguatkuasa.

Apa yang perlu ditekankan juga ialah pendekatan yang digunakan oleh pegawai penguatkuasaan semasa menjalankan operasi kelak. Diharapkan agar pegawai penguatkuasa mematuhi garis panduan yang sewajarnya supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Kejadian-kejadian seperti penguatkuasa yang mengambil kesempatan dan bertindak kasar haruslah dielakkan. Ini bagi memastikan imej penguatkuasa agama tidak diperlekehkan seterusnya dipertikaikan.

Latihan yang khusus perlu ditekankan kepada pegawai penguatkuasa dalam memastikan mereka boleh melaksanakan tugas dengan berkesan. Pegawai penguatkuasa juga perlu mempunyai ilmu dan modal insan yang tinggi supaya menjadi pedoman dalam menjalankan tugasan sehariannya. Peranan penguatkuasaan yang baik akan memberikan impak positif kepada masyarakat umum. Masyarakat akan memberikan penghormatan kepada undang-undang serta jabatan yang berkenaan. Dalam masa yang sama imej Islam sebagai agama rasmi negara juga akan menjadi lebih baik.

Selain itu, ABIM Pahang juga menyatakan kesediaan dan komitmen untuk memainkan peranan sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kesan buruk gejala murtad dan masalah sosial ini. Pendekatan pendidikan (tarbiyyah) dan seruan kepada kebaikan (dakwah) dilihat sebagai saluran terbaik untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat mengenai bahaya masalah ini. Program-program latihan dan dakwah boleh dianjurkan supaya mesej sebenar mengenai bahaya gejala murtad dan masalah sosial boleh disampaikan kepada masyarakat umum. Untuk itu, ABIM Pahang menyatakan komitmen dan kesediaan untuk bekerjasama dengan JAIP dan pihak-pihak yang lain bagi memastikan usaha menangani gejala murtad dan masalah sosial boleh dipastikan berjalan dengan berkesan.

Disediakan oleh
MUHAMMAD HISYAMUDIN BIN BAHARUDIN
Setiausaha ABIM Pahang

0 ulasan:

Post a Comment

Kongsikan Bahan

Twitter Facebook Digg Stumbleupon Favorites More